KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia tidak memberikan sebarang layanan istimewa kepada delegasi Israel yang masuk ke negara ini bagi menghadiri Forum Bandar Sedunia Kesembilan (WUF9), bulan lalu.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata delegasi Israel yang hadir atas jemputan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu adalah satu-satunya yang tidak disambut oleh mana-mana pegawai kerajaan.
Katanya, Malaysia turut menyatakan hasrat kepada PBB untuk mengecualikan kehadiran delegasi Israel, namun terikat dengan Artikel III Perjanjian Negara Penganjur (HCA) yang dimeterai antara Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat) dan Malaysia bagi penganjuran WUF9.
"Ketika sampai, delegasi Israel adalah satu-satunya perwakilan yang tidak disambut oleh pegawai Kementerian Luar.
"Malah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga tidak berikan sebarang (perlindungan dan kawalan) keselamatan kepada mereka.
"Kita serahkan sepenuhnya kepada PBB kerana kita tidak mengalu-alukan kehadirannya dan delegasi Israel ini hanya dibenarkan masuk kerana jemputan PBB," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) yang bertanya sama ada Malaysia ada memohon mengecualikan kehadiran delegasi Israel pada WUF9.
Dalam soalan tambahan sama, Dr Wan Azizah turut bertanya mengenai pendirian kerajaan berhubung penentangan terhadap penempatan haram Israel di Palestin yang turut dikecam PBB pada 2016, susulan kemasukan delegasi Israel itu.
Reezal Merican berkata, pendirian Malaysia dalam isu penempatan haram itu amat jelas, khususnya menerusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) atau Resolusi 2334, yang dibawa Malaysia pada Disember tahun lalu.
Katanya, resolusi yang mengutuk penempatan haram Israel dan menggambarkannya sebagai halangan bagi usaha damai Asia Barat, adalah kejayaan besar negara kerana ia ada resolusi pertama seumpamanya dalam tempoh 38 tahun.
"Nak ambil kehadiran delegasi ini sebagai ukuran kononnya kerajaan membelakangkan perjuangan Palestin adalah tidak tepat.
"Contohnya, di Bali, Indonesia, Menteri Ekonomi Israel sendiri hadir, ini tak bermakna Indonesia tidak menentang kekejaman Israel.
"Turki juga ada kedutaan di Tel Aviv dan Israel ada kedutaan di Ankara, namun tak bermakna Erdogan (Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan) tidak menentang, bahkan beliau dianggap antara paling lantang.
"Kita perlu melihat kelebihan daripada penganjuran WUF9 dan dalam soal ini, apa yang dicapai lebih tinggi dan penting kesannya kepada negara serta soal kehadiran itu tidak wajar dijadikan alasan menuduh Kerajaan Malaysia cuba mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel," katanya. - Berita Harian
0 comments:
Post a Comment