KUALA LUMPUR - Pendekatan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggunakan kaedah nyanyian untuk menyemai sentimen kebencian adalah sangat berbahaya dan perlu dipastikan tidak berulang.
Hal ini kerana, nyanyian merupakan salah satu cara paling efektif bagi merangsang ingatan dan menyuntik minat terhadap sesuatu.
Ahli Jawatankuasa Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Othman Lebar menjelaskan bahawa, tindakan mempolitikkan pendidikan dan eksploitasi seperti itu akan memberikan kesan kepada proses perkembangan minda.
"Kanak-kanak akan lebih mudah mengingati sesuatu jika diajar menggunakan nyanyian walaupun kandungannya bermotifkan sesuatu yang tidak baik.
"Mungkin mereka tidak memahami agenda Guan Eng menyanyikan lagu yang mempersendakan cukai barang dan perkhidmatan (GST), tetapi perlu ingat, kanak-kanak juga mudah untuk mendapatkan maklumat pada zaman ini," katanya.
Dalam satu video yang dimuat naik melalui akaun Facebook Guang Ming Daily, Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan itu dilihat 'terkinja-kinja' mengikut rentak lagu mengenai GST dalam sebuah majlis yang kebanyakannya dihadiri oleh kanak-kanak.
Penularan video tersebut menimbulkan persoalan adakah wajar seorang pemimpin sanggup menggunakan propaganda sedemikian semata-mata untuk menarik perhatian anak-anak kecil yang tidak bersalah membenci kerajaan. - Utusan Online
0 comments:
Post a Comment