Wednesday 28 March 2018

TPM Zahid Sangkal Dakwaan Pembangkang


TAMPIN – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyangkal dakwaan pembangkang kononnya kerajaan bankrap.

Beliau berkata kedudukan kewangan kerajaan yang kukuh dibuktikan menerusi peruntukan yang diumumkan kerajaan selama ini demi kesejahteraan rakyat.

“Saya bukan nak riak atau takbur, apa yang diumumkan adalah satu manifestasi hubungan baik wakil rakyat dan kerajaan negeri yang dipilih serta kerajaan pusat adalah daripada parti yang sama. Ini (peruntukan yang diluluskan) bukan dedak atau gula-gula,” kata Ahmad Zahid.

Kerajaan tidak akan dapat menyediakan peruntukan ini jika ia bangkrap, jika hutang meningkat dan sekiranya cukai barang dan perkhidmatan (GST) digunakan untuk membayar 1MDB (1Malaysia Development Berhad), seperti yang didakwa, katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat Parlimen Tampin di sini yang turut dihadiri anggota Parlimen Tampin Datuk Seri Shaziman Abu Mansor dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mengambil contoh peruntukan yang diluluskan hari ini untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh dan Gemas, masing-masing bagi pembinaan sebuah kompleks sukan dan sebuah jambatan baharu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata perkara itu tidak akan menjadi kenyataan sekiranya kerajaan bankrap.

“Kalau kerajaan bankrap, macam mana saya boleh luluskan peruntukan RM5 juta untuk kompleks sukan (di Gemencheh) dan RM3.5 juta jambatan baharu (di Gemas)?. Kerajaan tidak bankrap, kerajaan ada duit dan kita kerajaan mahu menolong rakyat,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, kerajaan juga amat prihatin dengan isu yang membelenggu rakyat seperti kos sara hidup, pendidikan dan keselamatan.

Katanya, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, semua isu itu sedang dan telah ditangani.
“Misalnya kos sara hidup, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sedar, saya pun sedar dan sebab itulah kita luluskan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara.

“Secara perbandingannya, tiada sebuah negara di dunia ini yang harga barangnya tidak meningkat kerana kos pengeluaran dan kos pengangkutan meningkat dan yang paling kita mahu hapuskan ialah keuntungan luar biasa oleh orang tengah,” kata Ahmad Zahid.

Menyentuh isu pendidikan, timbalan perdana menteri ketika berucap di hadapan 7,000 hadirin berkata ketiadaan yuran sekolah dan yuran peperiksaan membuktikan kerajaan amat prihatin dengan soal pendidikan.

“Dalam hal pendidikan, kos pendidikan kalau bersekolah di sekolah kerajaan pasti tiada kenaikan kos. Mengikut kajian NGO (pertubuhan bukan kerajaan) antarabangsa, hanya Malaysia sahaja yang mengambil kepedulian yang tinggi terhadap persekolahan sama ada di peringkat tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah.

“Secara automatik, ibu bapa mendapat peruntukan daripada kerajaan secara purata RM300. Masalahnya apabila yuran-yuran ini tidak dikenakan dan ditiadakan setiap tahun, tiada pun yang berterima kasih,” katanya.

Dalam soal keselamatan pula, Ahmad Zahid berkata penurunan indeks jenayah termasuk jenayah jalanan seperti ragut adalah hasil daripada pelbagai strategi yang dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata kesemua perkara yang menjadi kerisauan rakyat itu telah ditangani oleh kerajaan.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata tiada pemimpin seperti Najib sebelum ini yang terus meluluskan peruntukan yang diminta wakil rakyatnya.

“Asalkan perkara itu munasabah ia akan diberikan,” katanya.

Mengambil contoh kerajaan negeri Kelantan yang ditadbir Pas, beliau berkata kerajaan di bawah pimpinan perdana menteri juga memberikan peruntukan yang besar kepada negeri berkenaan.

“Walaupun kutipan cukai yang dibayar kepada khazanah negara kurang kerana kurang kemampuan membayar cukai, Kelantan mendapat peruntukan yang lebih daripada cukai yang dibayar.

“Itu tanda kerajaan prihatin kepada rakyat,” katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan kepada 10 balu anggota polis serta menyerahkan sijil kelayakan menduduki bangunan (CFO) dan kunci rumah kepada 176 penerima. - Bernama

0 comments:

Post a Comment