Friday 16 March 2018

Ucapan Perdana Menteri Mengenai Kedai Rakyat 1Malaysia 2.0




Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

dan Salam 1Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Baru-baru ini saya telah melancarkan Kedai Rakyat 1Malaysia atau KR1M 2.0, satu usaha memperhebat lagi perkhidmatan menyediakan barangan asas pada harga yang lebih murah untuk rakyat Malaysia.

Berbeza dengan KR1M sebelum ini, penjenamaan semula inisiatif meningkatkan kuasa beli rakyat dengan kerjasama strategik bersama pengilang, pengeluar dan pengedar.

Malah model perniagaan yang lebih terbuka ini akan membolehkan lebih ramai lagi pekedai untuk turut sama terlibat menjadi rakan kongsi KR1M 2.0 kerana model perniagaannya yang bakal melibatkan lebih ramai pihak swasta dan peniaga.

Kerajaan menyasarkan untuk membuka sehingga 3,000 premis yang turut melibatkan peniaga-peniaga runcit, sekaligus merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi yang bermula dari akar umbi kerana para peniaga kecil juga boleh mendapatkan manfaat dari kerjasama strategik ini.

Menyedari trend pembelian di pasaraya-pasaraya mini sudah mula meningkat, kerjasama dengan pekedai-pekedai ini akan memudahkan rakyat untuk mendapatkan penjimatan di kawasan berhampiran dengan mereka kelak.

Sebanyak 50 barangan keperluan harian pelbagai jenama akan disenaraikan di bawah inisiatif meningkatkan kuasa beli yang akan dibuat secara berperingkat.

Jika sebelum ini produk-produk dijenamakan di bawah nama KR1M, model baru KR1M 2.0 ini akan membolehkan rakyat membeli barangan berjenama seperti di pasaran pada harga yang lebih rendah sekaligus meningkatkan lagi kualiti kehidupan rakyat.

Sekian sahaja dari saya.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

NajibRazak.com

0 comments:

Post a Comment