Sunday, 11 March 2018

Utamakan Kepentingan Parti – Hishammuddin


LABUAN 11 Mac - Sikap toleransi dan semangat kekitaan di kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) di Labuan menjadikan pulau bebas cukai ini sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN), kata naib presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, kesanggupan para pemimpin parti komponen BN untuk mengetepikan perselisihan mereka dan mengutamakan kepentingan parti akan memberi kemenangan kepada BN dalam pilihan raya umum ke-14 akan datang.

"Tiada yang lebih utama kecuali perpaduan di kalangan parti komponen BN dan bersyukurlah kesemua parti masih tetap berada di bawah naungan BN sejak dahulu sehingga kini," katanya selepas melancarkan jentera pilihan raya BN Labuan di sini hari ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, BN Labuan tidak harus membenarkan pihak tidak bertanggungjawab melakukan provokasi yang bertujuan memecah-belahkan kepimpinan parti.

Beliau mengingatkan sayap wanita, pemuda dan puteri UMNO supaya bekerja dalam satu arah sejajar dengan kepimpinan parti.

"Kita harus menunjukkan kepada rakyat bahawa kita sentiasa bersatu dan berganding bahu," katanya.

Beliau mengingatkan jentera parti BN supaya sentiasa bekerjasama rapat tanpa mengira kaum bagi menentukan majoriti BN dalam pilihan raya umum akan datang meningkat bagi melicinkan pelan pembangunan.

"Kita harus merapatkan hubungan dengan anggota parti di semua cawangan serta dengan pengundi agar mereka lebih mengetahui tentang perjuangan parti," ujar beliau. - Bernama

0 comments:

Post a Comment