Thursday 15 March 2018

Zahid Yakin Angin Perubahan Berlaku Di P.Pinang


KEPALA BATAS, 15 Mac – Barisan Nasional yakin angin perubahan akan berlaku di Pulau Pinang pada pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia berikutan beberapa kelemahan dan kepincangan kerajaan negeri pimpinan Dap di Pulau Pinang mula memberi tamparan kepada rakyat negeri itu.

Beliau berkata berdasarkan pemantauan, beberapa kawasan yang sebelum ini dianggap gelap untuk Barisan Nasional (BN), kini mula menampakkan cahaya.

“Tasek Gelugor, Nibong Tebal, Balik Pulau saya pantau… lain-lain Bukit Mertajam masa gelap diterangkan, Permatang Pauh ada harapan, Jelutong terus gelap, Bayan Baru insya-Allah cerah Batu Kawan sedikit cerah, Bagan cerah tak gelap.

“Saya yakin perubahan besar akan berlaku di Pulau Pinang,” katanya berucap merasmikan program turun padang Timbalan Perdana Menteri di Dewan Millenium di sini hari ini.


Ahmad Zahid berkata beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan anggota-anggota parlimen dan dewan undangan negeri Barisan Nasional di negeri itu yang telah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat walaupun Pulau Pinang di bawah pentadbiran Dap.

Beliau berkata kerajaan persekutuan menawarkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Pulau Pinang keseluruhannya dan banyak perubahan akan dilakukan sekiranya negeri itu berada di bawah pentadbiran yang sama dengan persekutuan.

“Banyak lagi perubahan yang kita akan lakukan…BN tidak boleh membuat pelbagai janji melangit tetapi janji yang kami buat ini insya-Allah akan ditepati.

“Rakyat harus didahulukan sebagai lambang komitmen kita,” katanya.

Pulau Pinang kini di bawah pimpinan kerajaan pakatan harapan apabila Dap menang 19 daripada 40 kerusi dewan undangan negeri dan PKR 10 kerusi. BN memperoleh 10 kerusi manakala satu kerusi lagi diwakili parti Pas. - Bernama

0 comments:

Post a Comment