GEORGETOWN: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang akan mengumumkan calon yang akan mewakili parti itu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Selasa ini.
Setiausaha BN Pulau Pinang, Datuk Omar Faudzar, berkata pengumuman itu akan disempurnakan oleh Pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow di Pejabat GERAKAN negeri di sini, pada jam 11 pagi.
"Setakat ini kita sudah menerima senarai penuh calon yang akan mewakili BN pada PRU-14 daripada semua parti komponen dan pengumuman mengenainya akan dibuat dalam satu majlis khas.
"Senarai ini juga sudah dipersetujui Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak dan saya berharap semua pihak dapat bersabar dan tunggu pengumuman pada Selasa nanti," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.
Khamis lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan calon bagi kerusi Parlimen dan DUN pada PRU-14 akan diumumkan Pengerusi BN di negeri masing-masing.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN dilapor berkata, ia selepas Najib memberi kuasa kepada Pengerusi BN semua negeri untuk berbuat demikian, selain tarikh bersesuaian sudah diberikan kepada mereka.
Berikutan itu, BN Pulau Pinang dilapor akan mengumumkan senarai penuh calon yang akan mewakili parti itu pada PRU-14, antara Isnin atau Selasa ini, sejurus ia dipersetujui Najib. - Berita Harian
0 comments:
Post a Comment