Monday 30 April 2018

DAP Korban Logo Tarik Undi Melayu - Fairus


KOTA BHARU: Kesanggupan DAP mengorbankan logo sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah isyarat jelas parti itu mahu memperalatkan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mendapatkan undi masyarakat Melayu.

Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, Prof Datuk Seri Dr Mohammad Fairus Khairuddin berkata, parti itu sedar kekuatannya semakin rapuh untuk menguasai pengundi Melayu sehingga sanggup mengetepikan logo roket yang dibanggakan selama ini untuk bersembunyi di sebalik lambang PKR.

Malah beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti berkata, percubaan DAP untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) juga gagal menerusi Datuk Seri Anwar Ibrahim sehinggakan kini terpaksa beralih kepada Dr Mahathir sebagai alat baharu.

"Apabila DAP melihat terdapat 'geseran' antara Dr Mahathir dengan pemimpin UMNO secara dalaman, mereka mengambil peluang untuk menggunakan bekas Perdana Menteri itu bagi memecahkan undi dan dokongan Melayu.

"DAP yang konsisten dengan prinsip anti Melayu dan anti Islam sedar pergolakan yang berlaku terhadap Dr Mahathir dan menganggap ini adalah saat strategik untuk parti itu menangguk air keruh menjadikan Dr Mahathir sebagai alat untuk meraih pengundi Melayu," katanya selepas berucap pada Ceramah Khas PRU-14, di sini malam tadi.

Mohammad Fairus yang keluar dari PKR pada 2010 sebelum menyertai UMNO berkata, sudah tentunya secara peribadi, semua rakyat sedih apabila Dr Mahathir akhirnya menjadi orang yang khianat kepada agama dan bangsa.

Bagaimanapun, beliau tetap optimis dan yakin pengundi tidak menggunakan pemikiran yang singkat dan laporan sebelum ini sudah membuktikan semuanya.

Katanya, rakyat tidak mahu memilih manusia atau parti yang tidak berprinsip kerana negara memerlukan kestabilan.

"Kita harus membangunkan negara ini demi masa depan anak cucu kita dan ia dilakukan dengan kestabilan dan prinsip adab yang dilakukan bagi menghormati antara satu sama lain...tapi ini tiada dalam pakatan pembangkang.

"Mereka sehingga sekarang tidak berupaya menubuhkan satu pakatan yang rasmi berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS)...kalau perkara kecil tidak boleh laksana, usah kita harapkan perkara besar pula," katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment