Sunday 22 April 2018

Guan Eng Umum Calon Kabinet Tunjukkan DAP “Abang Besar” – Hishammuddin


KLUANG, 22 April – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan tindakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengumumkan dua calon parti itu sebagai calon menteri Kabinet sekiranya pakatan pembangkang menang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) menunjukkan DAP “abang besar” dalam pakatan itu.

Beliau berkata pengumuman berkenaan turut menunjukkan Lim sebagai angkuh dan takbur dan membelakangkan Tun Dr Mahathir Mohamad sedangkan mereka sudah memilih Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri sekiranya berkuasa.

“Kerana kita tahu jawatan-jawatan di dalam Kabinet adalah hak mutlak perdana menteri… bukan ditentukan Lim Guan Eng.

“Jadi, saya hendak tanya Lim, kenapa angkuh, takbur sangat sehingga kalau betul dia hendakkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri, kenapa dia buat pulak pengumuman siapa hendak diletakkan dalam jemaah menteri,” katanya.

Hishammuddin yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Sembrong dan Menteri Pertahanan berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Ramah Mesra Rela Bersama Pemimpin Parlimen Sembrong di Pekan Kahang, di sini, hari ini.

Beliau meragui persefahaman Dr Mahathir bersama DAP sehinggakan pengumuman calon menteri Kabinet boleh dilakukan Lim.

“Saya hendak tanya kepada Dr Mahathir, persefahaman antara dia dan DAP ini betul atau tidak?

“Kalau betul dia ikhlas, tidak mungkin Lim Guan Eng akan buat pengumuman bahawa (mana-mana) calon DAP diletakkan dalam jemaah menteri,” katanya.

Baru-baru ini, Lim mengumumkan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong adalah calon menteri Kabinet jika masing-masing menang kerusi Parlimen Teluk Intan di Perak dan kerusi Parlimen Ayer Hitam di Johor.

Sementara itu, Hishammuddin menegaskan agenda pembangunan untuk masyarakat di Sembrong bukan sekadar janji kosong seperti didakwa pembangkang.

Beliau berkata ia terbukti dengan pelbagai agenda merangkumi perumahan, pendidikan, keselamatan, perubatan dan sebagainya yang diperkenalkan kepada pengundi Sembrong berbanding pembangkang yang tidak memberikan sebarang sumbangan dalam tempoh lima tahun ini.

0 comments:

Post a Comment