Wednesday 4 April 2018

Isu Rasuah : Sampai Bila Guan Eng Mahu Kunci Mulut, Diam Bukan Bererti Rakyat Lupa


BUKIT BENDERA - “Sampai bila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mahu kunci mulut berkaitan isu gambar bersama ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang disiasat SPRM kerana menerima wang berjumlah RM19 juta berkaitan terowong laut. Rakyat masih menunggu jawapan… diam bukan bererti rakyat lupa,” ujar Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Abd Rahim.

Beliau berkata, sehingga hari ini Guan Eng masih tidak memberi jawapan tentang isu dua keping gambar tersebut.

Sebaliknya Guan Eng tegasnya hanya berputar belit menuduh pihak lain dan mengalihkan isu gambar bersama ahli perniagaan tersebut dengan isu yang tiada kaitan dengan isu sebenar.

“Rakyat mahukan jawapan, bukannya wayang gambar putar belit untuk melepaskan tengkuk sendiri. Apa yang menjadi persoalannya ialah orang ramai mahu mengetahui apakah status hubungan Guan Eng dengan ahli perniagaan tersebut.

“Ini kes besar… bila gambar pertama tersebar Guan Eng beri jawapan tidak pasti di mana gambar diambil, bila keluar gambar kedua di dalam kereta, Guan Eng terus kunci mulut tiada jawapan.

“… inilah cara Guan Eng bila sudah terjerat tetapi jangan ingat rakyat lupa. Rakyat masih menagih jawapan,” katanya lagi kepada UMMO-Online.

Pada 11 Mac lalu, Pejabat Ketua Menteri menafikan Guan Eng mengenali secara dekat ahli perniagaan bergelar Datuk Seri berkenaan kerana terlalu ramai orang yang mengambil gambar dengannya malah Guan Eng memberikan jawapan tidak pasti bila dan di mana gambar tersebut diambil.

Tetapi apabila tersebar gambar kedua yang menunjukkan Guan Eng bersama Datuk Seri itu berdua dalam sebuah kereta, ia semakin menimbulkan keraguan kerana jika Guan Eng tidak mengenali ahli perniagaan itu secara dekat, mana mungkin mereka berada di dalam satu kereta.

Ekoran daripada itu, orang ramai mula mendesak Guan Eng untuk menjelaskan berkaitan gambar yang menjadi tular itu kerana individu itu sedang disiasat oleh SPRM berhubung projek terowong dasar laut yang membabitkan kos bernilai RM6.3 bilion. – MediaUMNO

0 comments:

Post a Comment