Friday 6 April 2018

Jahara Mungkin Kekal Bertanding PRU14


BUTTERWORTH: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid tidak menolak kemungkinan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Jahara berkata, keputusan untuk kekal bertanding di kerusi DUN Teluk Air Tawar yang disandangnya itu dibuat sekiranya wujud keperluan mendesak atau menerima permintaan khusus daripada parti.

"Saya tengok dulu, kalau diminta juga oleh parti dan saya akan pertimbangkan. Bagaimanapun, biarlah ia (kekal bertanding) menjadi keputusan terakhir yang dimuktamadkan parti.

"Saya ada dengar cakap-cakap yang nama saya masih dicalonkan untuk bertanding di kerusi Teluk Air Tawar, tetapi kalau ada muka baharu, dahulukan calon berkenaan.

"Saya kalau boleh nak berehat selepas lima penggal berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pulau Pinang. Sudah tiba masa saya untuk menjadi mentor kepada muka baharu pula,"katanya dalam temubual bersama NSTP, hari ini.

Sebelum ini, Jahara, 67, mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi DUN Telok Air Tawar yang disandangnya sejak 1999 bagi memberi peluang kepada calon muda di kawasan itu bertanding pada PRU14.

Dalam perkembangan lain, Jahara berkata, UMNO Pulau Pinang menyasarkan untuk menawan kembali lima kerusi DUN yang disandang wakil rakyat pakatan pembangkang dan PAS, pada PRU14.

"Ia masing-masing di DUN Batu Maung, Sungai Bakap, Seberang Jaya, Penanti dan Permatang Pasir. UMNO gagal pertahankan kerusi DUN Seberang Jaya pada PRU13, manakala selebihnya pada PRU12.

"Kita optimis dapat menawan kembali kelima-lima kerusi ini, selain mengekalkan 10 kerusi sedia ada yang disandang wakil rakyat daripada UMNO," katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment