Monday, 2 April 2018

Jangan Biarkan Permatang Pasir ‘Gelap‘

PUSAT penjaja di Taman Pasir Indah yang tidak beroperasi di Permatang Pasir, Pulau Pinang.

PERMATANG PAUH 1 April - Kawasannya luas sehingga ke Cross Street dan Permatang Rawa yang bersempadan dengan Bukit Mertajam, dipisahkan oleh sungai dengan Sungai Dua serta dibelah lebuh raya dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya.

Berada di bawah kawasan Parlimen Permatang Pauh bersama DUN Seberang Jaya dan DUN Pe­nanti yang kesemuanya diwakili wakil rakyat PKR, DUN Permatang Pasir agak unik.

Menjadi satu-satunya DUN yang dipimpin wakil rakyat Pas, kawasan itu agak terpinggir dan ketinggalan sama ada ketika menjadi pembangkang terutana ketika berada di bawah kerajaan DAP pimpinan Lim Guan Eng sejak 2008.

Selama hampir empat penggal, Permatang Pasir diwakili Datuk Mohd. Hamdan Abd. Rahman yang meninggal dunia pada 2009 sebelum pilihan raya kecil DUN yang menyaksikan tempat itu digantikan Datuk Mohd. Salleh Man.

Namun biarpun memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Salleh dilihat gagal membawa sebarang pembangunan ke Permatang Pasir tambahan pula selepas Pas memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP.

Meninjau kawasan itu ternyata banyak kekurangan yang dapat dilihat sama ada dari segi infrastruktur atau pembangunan fizikal mahupun aspek ekonomi penduduk yang rata-rata me­ngusahakan bendang.

Biarpun terdapat sebuah Giat Mara di Permatang Ara atau Kolej Komuniti Bukit Mertajam di Ta­nah Liat selain sekolah menengah dan rendah serta Pejabat Pendidikan Daerah, itu semua adalah hasil usaha kerajaan BN yang tidak pernah meminggirkan kawasan itu. 

Malah banyak projek serta program-program untuk rakyat di Permatang Pasir diusahakan oleh Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said yang juga anak jati Kampung Tanjung Putus di kawasan DUN itu.

Dengan komitmen yang ditunjukkan oleh Mohd. Zaidi, nasib penduduk di kawasan itu yang terabai berjaya dibela serta mendapat pelbagai bantuan yang disa­lurkan oleh Kerajaan Pusat.

Bagi Penyelaras DUN BN Permatang Pasir, Anuar Faisal Yahaya, terlalu banyak kelemahan serta kepincangan yang berlaku di kawasan itu dan Salleh sendiri tidak mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk.

Menurutnya, antara isu terbaharu yang timbul adalah depoh menyimpan lori treler yang dibina di atas tanah pertanian dan bilangannya semakin bertambah dari semasa ke semasa.

“Masalah ini membabitkan keselamatan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal yang berdepan risiko kemalangan termasuk kemalangan maut kerana berlanggar dengan treler ini.

“Selain itu jalan raya terutama berhampiran Kampung Permatang Rambai dan Bukit Merah rosak teruk akibat sering dilalui oleh treler-treler ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambahnya, pada zaman pe­merintahan BN, kerajaan menerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda)  membina perumahan mampu milik di Taman Ara Indah yang mampu dibeli pada harga antara RM45,000 hingga RM75,000 seunit.

Namun ujarnya, Taman Pasir Indah yang diusahakan oleh Salleh serta dihadiri oleh Guan Eng ketika pelancarannya menjadi projek rumah ‘mampu te­ngok’ sahaja kerana harganya yang terlalu mahal serta tidak mampu dimiliki oleh golongan muda.

“Dengan harga serendah RM350,000 dan ada yang menjangkau sehingga RM600,000 mana mungkin dapat dibeli oleh golongan muda yang baharu ingin memulakan pekerjaan.

“Selain itu biarpun terdapat projek rumah pangsa mampu milik namun sehingga kini tiada sebarang berita sama ada ia telah habis dijual atau masih terbengkalai selepas lebih dua tahun di­siapkan,” ujarnya.

Ditanya harapan untuk Pilihan Raya Umum-ke14, Anuar Faisal menyeru kepada 24,744 pe­ngundi yang terdiri daripada lebih 18,000 pengundi Melayu membuat pilihan yang tepat agar kawasan itu tidak lagi ‘gelap’. - Utusan Online

0 comments:

Post a Comment