Friday 6 April 2018

Kerajaan Sementara Perlu Pastikan Pentadbiran Negara Lancar


KUALA LUMPUR, 7 April – Kerajaan sementara yang diwujudkan apabila Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum, adalah perlu bagi memastikan pentadbiran negara terus berjalan lancar.

Ia juga berperanan sebagai pemegang amanah dalam menjaga kepentingan rakyat dan negara semasa tempoh Parlimen itu terbubar.

Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata walaupun tidak terdapat peruntukan khas mengenai kerajaan sementara dalam Perlembagaan, ia ialah suatu amalan yang diterima.

“Walaupun tidak terdapat peruntukan spesifik dalam Perlembagaan, ia tidak menjadi masalah.

“Ini kerana ia merupakan satu amalan bagi mana-mana kerajaan di dunia pun, di mana kerajaan dan Jemaah Menteri sedia ada akan menjalankan fungsi kerajaan sementara sehingga satu kerajaan baharu yang dipilih rakyat dibentuk,” katanya kepada Bernama.

Dalam hal ini, Shamrahayu berkata kerajaan sementara juga berfungsi menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai urusan pentadbiran negara, manakala Seri Paduka akan merupakan ‘semak dan imbang’ kepada kerajaan sementara itu.

Mengenai bidang kuasa sesebuah kerajaan sementara itu, beliau menjelaskan ia terhad kepada pentadbiran rasmi dan rutin kerajaan, untuk meneruskan pelaksanaan dasar dan program yang telah dirancang sebelum pembubaran Parlimen dilakukan.

“Ia tidak boleh membuat keputusan yang mempunyai impak besar, misalnya membuat dasar dan meluluskan peruntukan besar.

“Pengumuman melaksanakan projek-projek besar juga tidak harus dilakukan dalam tempoh itu melainkan peruntukan kewangan dan rancangan projek tersebut telah diluluskan sebelum pembubaran,” kata beliau.

Katanya kerajaan sementara, yang dianggotai Jemaah Menteri sedia ada, akan berfungsi sejurus Parlimen dibubarkan dan ia akan termansuh secara automatik selepas seorang perdana menteri daripada pihak yang memenangi pilihan raya itu dilantik.

Shamrahayu berkata amalan yang sama juga terpakai ke atas Yang Dipertua Dewan Rakyat selepas Parlimen dibubarkan.

Jelasnya, Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum Parlimen dibubarkan akan terus memegang dan menjalankan peranannya sehingga seorang Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu dilantik.

“Ini juga kerana beliau perlu mempengerusikan mesyuarat pertama Parlimen dan memastikan seorang Speaker baharu dilantik pada mesyuarat tersebut untuk menggantikan beliau,” katanya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment