Monday 2 April 2018

Kertas Siasatan Lim Telah Diserah Kepada Pejabat Peguam Negara – Polis


GEORGE TOWN, 2 April – Polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengindoktrinasikan kanak-kanak dengan politik kebencian apabila mengejek Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam parodi lagu ‘A, B, C’ bulan lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A. Thaiveegan berkata kertas siasatan itu telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara hari ini bagi tindakan selanjutnya.

Siasatan itu dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 serta penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, katanya di sini.

Semalam, polis mengambil keterangan Lim di Pejabat Ketua Menteri di Kompleks Tun Abdul Razak di sini.

Sebelum ini, Lim yang juga Setiausaha Agung Dap, dilaporkan disiasat oleh polis susulan laporan yang dibuat terhadapnya mendakwa beliau mengindoktrinasikan kanak-kanak dengan politik kebencian apabila mengejek GST dalam parodi lagu ‘A, B, C’.

Klip video berdurasi 32 saat itu menunjukkan Lim menari sambil mengejek GST pada pelancaran pusat tuisyen di Jelutong, 17 Mac lalu. - Bernama

0 comments:

Post a Comment