Wednesday 4 April 2018

Khairy Kecewa Pihak Pertikai Sokongan Kerajaan Kepada Atlet Paralimpik


KUALA LUMPUR - Kekecewaan diluahkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin terhadap sesetengah pihak yang mempertikai sokongan kerajaan kepada atlet paralimpik negara, mendapat dorongan semangat daripada Anggota Parlimen pembangkang.

Khairy ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Pembangunan Sukan (Pindaan) 2018 berkata pihak terbabit sebaliknya gagal memberikan sokongan kepada para atlet apabila diperlukan seperti yang berlaku pada Sukan Para ASEAN ke-9 Kuala Lumpur 2017.

“Saya boleh sampaikan kepada Dewan (Rakyat) ini kekecewaan peribadi saya sebab apabila kita merangkul pingat emas di peringkat paralimpik, banyak pertikaian mengenai sokongan kerajaan terhadap atlet paralimpik kita, sedangkan kita dah lama menyokong mereka.

“Sampai di peringkat dunia pun atas latihan dan sokongan daripada pihak Majlis Sukan Negara, tetapi apabila masa untuk rakyat Malaysia menunjukkan sokongan mereka terhadap atlet paralimpik terutamanya di Sukan Para ASEAN yang diadakan di Kuala Lumpur pada tahun lepas, sambutannya agak mengecewakan dan ini mungkin mencerminkan sikap rakyat Malaysia yang banyak cakap tetapi apabila tiba masa untuk tunjukkan sokongan secara nyata, mereka ‘fall short’,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Kekecewaan Khairy itu bagaimanapun mendapat suntikan semangat daripada Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR-Indera Mahkota) yang meminta beliau dan pihak kementerian untuk terus memberi dokongan kepada atlet kelainan upaya.

“Teruskan memberi sokongan sepenuhnya kepada atlet paralimpik, saya percaya mereka akan membawa nama baik Malaysia ke peringkat antarabangsa,” katanya yang pernah menjadi presiden Majlis Paralimpik Malaysia.

Dalam pada itu, Dewan Rakyat kemudiannya meluluskan RUU berkenaan yang bertujuan membangunkan sukan negara secara menyeluruh dan membantu menyelesaikan masalah dalam badan sukan.

Rang undang-undang itu adalah bagi mengemaskini Akta Pembangunan Sukan 1997 supaya relevan dengan perubahan dalam sukan di peringkat antarabangsa serta seiring dengan dasar-dasar semasa negara seperti Dasar Sukan Negara, Dasar Belia Malaysia dan Transformasi Nasional 2050.

Pindaan rang undang-undang berkenaan antara lain bagi mengadakan peruntukan bahawa Majlis Paralimpik Malaysia bertanggungjawab untuk memastikan penyertaan Malaysia dalam Sukan Paralimpik, Sukan Paralimpik Asia dan pertandingan olahraga antarabangsa yang lain.

Ia juga membolehkan mana-mana anggota badan sukan atau badan sukan itu sendiri untuk merujuk apa-apa pertikaian yang tidak dapat diselesaikan mengikut tatacara dalaman kepada Jawatankuasa Pertikaian Sukan dan bukannya kepada menteri. - Bernama

0 comments:

Post a Comment