Friday 13 April 2018

Lebih 2000 Mahasiswa Nyatakan Sokongan, Bentuk Jentera Siswa BN Kempen PRU-14


KUALA LUMPUR, 13 April – Lebih 2,000 mahasiswa hari ini berkumpul di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menyatakan sokongan secara terbuka terhadap Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan berlangsung Mei depan.

Malah mereka turut menggerakkan Jentera Siswa BN untuk menjelajah dan bersama-sama dengan jentera parti yang lain di seluruh negara dalam usaha membantu kemenangan parti dalam PRU kali ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim ketika ditemui UMNO-Online sejurus pelancaran jentera Siswa BN oleh Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melahirkan rasa terharu dan amat bangga dengan inisiatif yang diambil oleh mahasiswa terbabit.

Menurut beliau Siswa BN adalah manifestasi kesedaran golongan tersebut terhadap apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan selama ini malah apa yang lebih penting tumpuan secara menyeluruh terhadap mahasiswa menyebabkan hari ini mereka terpanggil untuk bersama-sama di dalam kempen PRU-14.

“Hari ini saya rasa seronok kerana ramai mahasiswa bersama Barisan Nasional dan mereka sendiri hadir untuk bersama dalam PRU dan memanggil pergerakan mereka ini sebagai Siswa BN.

“Kita  beritahu apa yang patut buat dan apa yang tidak patut buat sebab bila nak pakai nama BN segala tingkah laku dan tindak tanduk mereka akan memberi kesan kepada parti. Pucuk pimpinan bersetuju untuk mereka terlibat dengan nama siswa BN  di kawasan-kawasan yang akan kita tetapkan dan saya ingin mengucapkan terima kasih dan mendoakan mereka berjaya di dalam bidang tugas masing-masing.

“Kita tidak pernah suruh namun atas kesedaran dalam menimbangkan maklumat dan berita yang diterima hari ini  mereka ingin bersama dengan BN pada PRU kali ini. Kesemua mereka akan berkempen sepertimana latihan yang diberi kepada jentera sayap dan yang terlibat secara tradisional sebelum ini,” katanya.

Katanya lagi berbeza mereka ini dilatih menerusi platform kemahasiswaan yang dijalankan oleh UMNO dan BN sebelum daripada ini.

Mereka jelas beliau lagi bukan orang baru dan terdedah dengan maklumat serta latihan yang pelbagai.

“Hari ini mereka akan gunakan segala maklumat dan ilmu yang mereka ada di lapangan yang sebenar yang akan memilih kerajaan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Siswa BN Muhammad Ameerul Haziq Mohd Azman berkata pihaknya amat berbesar hati apabila dapat bersama-sama di dalam kempen PRU kali ini dalam usaha membantu parti yang mempunyai banyak sejarah kejayaannya selama ini.

“Hari ini kita menghimpunkan anak-anak muda daripada IPTA dan IPTS yang tidak dilupakan oleh BN…matlamat kita menyemarakkan kempen dalam PRU dan amat berbesar hati apabila mahasiswa mempunyai platform untuk bersama.

“BN kita dapat tengok sejarah kejayaannya…pembangunan…keprihatinan kepada golongan mahasiswa dan sebagainya lagi”, ujarnya.

Walaupun ditohmah dan dicaci oleh pakatan pembangkang tambahnya BN tetap dengan pelbagai perancangan.

“Pindaaan AUKU sebelum ini membolehkan kami ke depan.. dan kita sahut cabaran ini bukan sahaja mengisi kekosongan tetapi juga   menyatakan pendirian kami.

“Jelas tanggapan bahawa anak muda tidak sokong kerajaan tidak benar sama sekali…mereka menjaja ceria fitnah..cerita palsu dan permainan kotor. Hari ini kita dapat bersama lebih 2000 bukan 20 atau 200…

“Dan kita tidak perlukan sebuah kerajaan baharu yang dipimpin oleh pakatan harapan kerana mereka hanya menggunakan harapan namun tidak meletakkan harapan yang sebenarnya. Siswa BN platform bagi kita untuk menyinar lebih berbanding pakatan…sekali kita lawan kita lawan habis-habisan,” katanya.

Dalam pada itu, Mahasiswa Nasional daripada UKM, Haziq Shafe’ee pula berkata gendang PRU yang telah dipalu membuka ruang untuk mereka bersama-sama dengan sebuah parti yang membentuk kerajaan selama ini yang telah memperjuangkan kepentingan serta kebajikan mahasiswa.

“Kita dapat lihat bagaimana mahasiswa berkumpul di PWTC menyatakan sokongan kepada kerajaan yang telah banyak membuka peluang dan ruang kepada kami semua.

“Hari ini gendang telah terpalu…kita pilih yang terbaik dan mana yang memperjuangkan kita satu hari nanti dan bukannya pihak yang mahu memperkudakan kita,” katanya.

Insya Allah beliau seterusnya yakin kemenangan akan menjadi milik BN.

“Kita perlu beritahu kepada rakan-rakan mahasiswa lain hari ini bagaimana dengan adanya peluang dan ruang yang dibuka oleh kerajaan selama ini memberi peluang kepada generasi kita untuk sama-sama membina TN50 akan datang,“ ujarnya.-MediaUMNO

0 comments:

Post a Comment