TASEK GELUGOR: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Ayer Tawar di Parlimen Tasek Gelugor, Pulau Pinang cukup sinonim dengan wakil rakyat wanita sejak 30 tahun lalu.
Kerusi itu secara tradisinya diwakili beberapa ahli DUN (ADUN) wanita dengan yang terakhir, tokoh veteran wanita UMNO negeri, Datuk Jahara Hamid.
Namun, pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini, Barisan Nasional (BN) menampilkan pembaharuan apabila meletakkan Datuk Zamri Che Ros, 49 tahun, sebagai calon menggantikan Jahara.
Sebagai calon muka baharu, Zamri berkata, ia adalah cabaran yang perlu dipikulnya bagi meneruskan legasi kemenangan BN di kerusi tersebut.
"Baik wakil rakyat wanita atau lelaki, semua serupa. Cuma kita lihat, kebanyakan pengundi di DUN Telok Ayer Tawar ini lebih memerlukan calon lelaki, sebab mereka sudah hampir 30 tahun diwakili wakil rakyat wanita.
"Jadi, penerimaan pengundi di sini terhadap calon wakil rakyat lelaki lebih mesra dan memerlukan," katanya.
Zamri berkata, walaupun dirinya adalah calon muka baharu, namun beliau yakin dapat memenangi hati pengundi di kawasan itu kerana sering menjadi wakil kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya dalam pelbagai aktiviti bersama penduduk.
Katanya, sejak berusia 18 tahun dia telah mula bergiat aktif dalam politik, ditambah dengan pengalaman bekerja di bawah tiga ahli Parlimen kawasan Tasek Gelugor, beliau yakin BN akan terus mengekalkan kemenangan.
"Bagi saya, tidaklah begitu susah sangat sebab walaupun saya calon baru, saya telah berkhidmat lebih dari 10 tahun. Di atas pengalaman itu, tak sukar untuk saya mengenali pengundi di sini.
"Mudahlah, sebab saya pernah menjalankan tanggungjawab sebagai setiausaha BN dan pegawai khas dulu. Bezanya, dulu saya di belakang tabir, sekarang saya ke depan. Itu saja," tambahnya.
Dengan membawa pendekatan mesra rakyat, Zamri berkata, antara isu yang akan menjadi keutamaannya ialah membangunkan program-program untuk orang muda serta menambah baik kemudahan di kawasan nelayan, seterusnya meningkatkan pendapatan mereka.
Pada PRU14, pencalonan Zamri akan ditentang Mustafa Kamal Ahmad dari PKR, Haniff Haron (Pas) dan Lee Thian Hong (Parti Rakyat Malaysia). - Astro Awani
0 comments:
Post a Comment