Dewan Rakyat bakal dibubarkan sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan manifesto BN, kata Pengarah Komunikasi Strategik parti Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
“Kemungkinannya, berdasarkan pengalaman parti sebelum ini, pelancaran manifesto dibuat selepas parlimen dibubarkan. Itu dah jadi suatu tradisi.
“Bagaimanapun, saya tidak pasti sama ada Datuk Seri Najib akan mengamalkan kaedah yang sama iaitu melancarkan manifesto selepas parlimen dibubarkan,” katanya hari ini di Sepanggar.
Sebelum ini, terdapat laporan menyebut pengumuman majlis manifesto BN akan dilangsungkan pada Sabtu ini.
Semasa PRU13, parlimen dibubarkan pada 3 April dan tiga hari selepas itu, manifesto BN diumumkan.
Rahman berkata manifesto itu dijadual dilancarkan minggu depan, manakala hari terakhir persidangan Dewan Rakyat ialah 5 April.
“Ada seseorang memberitahu saya, tapi saya tidak dapat mengesahkannya. Rakyat boleh menjangkakan parlimen akan dibubarkan minggu depan,” kata Ahli Parlimen Kota Belud itu.
Menurut Rahman (foto), manifesto BN akan dilancarkan secara besar-besaran pada satu majlis di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Tambahnya lagi, beliau sudah melihat manifesto berkenaan, yang mengandungi perkara ‘baik dan memeranjatkan’, terutama bagi Sabah.
“Ada juga beberapa perkara dalam manifesto itu yang kita tidak pernah terfikir sebelum ini.
“Tunggu sahajalah sehingga pelancarannya untuk mengetahui perkara itu,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri. -Bnbbc
0 comments:
Post a Comment