PUTRAJAYA, 4 April – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menempelak pembangkang kerana sering memperlekehkan peranan dan menghina 1.6 juta penjawat awam negara ini.
Beliau memberikan contoh kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir yang mahu memecat pegawai tertinggi kerajaan sekiranya parti itu memerintah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.
“Lebih menyedihkan, saya berasa sungguh kecewa, apabila terdapat pemimpin pembangkang yang tergamak memperlekeh dan menghina para penjawat awam sebagai ‘kucing kurap’.
“Tetapi tuan-tuan dan puan-puan, biarlah mereka berperangai macam itu, namun apa yang pasti pada hari ini, Barisan Nasional sebagai sebuah kerajaan, sentiasa prihatin dalam menjaga untung nasib warga penjawat awam,” katanya pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-16 (MAPPA XVI) yang dihadiri kira-kira 10,000 anggota perkhidmatan awam di sini hari ini.
MAPPA merupakan acara tahunan di mana perdana menteri akan menyampaikan amanat kepada anggota perkhidmatan awam daripada pelbagai perkhidmatan di peringkat persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan serta syarikat berkaitan kerajaan.
Najib menyifatkan kata-kata pakatan pembangkang itu telah mengguris hati para penjawat awam.
Sebagai contoh, beliau berkata Penang Institute, sebuah badan di bawah kerajaan negeri Pulau Pinang, pada 22 Okt 2016 telah mencadangkan supaya kakitangan penjawat awam dikurangkan kepada 430,000 ketika menganalisis Bajet 2017.
lni bermakna, sebanyak 1.2 juta para penjawat awam akan ditamatkan perkhidmatan dan hilang mata pencarian serta merta, katanya.
“Kitalah kawan setia kerajaan, kita pendukung utama negara. Tidak bisa mungkin kita lepaskan pada pembangkang yang bagai api dalam sekam, telunjuk kononnya lurus, namun kelingking berkait. Walau apapun, biar diasak bertubi-tubi, ‘pemimpin luput di langit senja’, takkan kita biarkan walau lumat kita digiling, walau hancur kita ditumbuk.
“Penjawat awam terus kita perjuangkan maruah dan kepentingannya,” katanya.
Najib turut mempersoal dakwaan pembangkang kononnya Malaysia yang telah mencatatkan pelbagai kejayaan, dikatakan sebagai negara gagal.
“Setahu saya, yang dikatakan gagal itu adalah, apabila bina ‘terowong tak siap-siap’, bila berlaku masalah banjir (Pulau Pinang), tapi minta bantuan kita (kerajaan persekutuan) dan penjawat awam jugalah yang kena selesaikan. Jika itu tidak dikira gagal, nak cakap apa lagi?
“Ini tidak termasuk yang terbaru, hampir 10 tahun dah perintah negeri (Selangor), tapi masalah air terawat pun tak selesai-selesai.
“Itulah yang gagal sebenarnya. Sehinggakan ada orang mengatakan di negeri itu, ‘pemimpin dapat undi, rakyat pula dapat baldi’,” katanya.
Najib turut mempersoalkan tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang sanggup mempergunakan institusi pendidikan untuk tujuan politik.
“Lim ‘terkinja-kinja’ menyanyi lagu anti-GST di hadapan kanak-kanak bagi menyemai kebencian terhadap kerajaan Persekutuan.
“Biarlah dia dengan ‘perangai macam itu’, tetapi kita di pihak kerajaan, akan terus berusaha memperkasa dan memartabatkan institusi pendidikan di negara ini dan juga kepada golongan pendidiknya,” katanya.
Sementara itu, Najib berkata manifesto pakatan pembangkang yang populis dan tidak realistik untuk menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), tol, duti eksais dan (pinjaman) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menyebabkan Malaysia kehilangan hasil negara sebanyak RM416.6 bilion.
“Apa yang memelikkan saya adalah, macam mana mereka boleh terfikir dalam memansuhkan ini dalam manifestonya?
“Jikalau benar pun itu yang mereka ingin lakukan, Malaysia dijangka bakal kehilangan hasil negara. Ini adalah janji yang sangat tidak masuk akal sama sekali, dan boleh membawa negara menjadi bankrap jika betul ia mahu dilaksanakan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment