Sunday 15 April 2018

Pembangunan Kawasan Bukit Dihentikan Jika BN Diberi Mandat Di P. Pinang


BUTTERWORTH, 15 April – Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang akan menghentikan semua pembangunan di kawasan bukit dan lereng bukit sekiranya diberi mandat memerintah negeri itu selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Pengerusi BN negeri Teng Chang Yeow berkata BN akan menghentikan pembangunan di kawasan bukit dan lereng bukit melebihi 76.2 meter dari paras laut yang dikatakan membawa padah kepada rakyat Pulau Pinang.

Sambil menyifatkan Pulau Pinang kini diambang krisis, beliau berkata pembangunan yang tidak dirancang terutamanya di lereng bukit hanya akan membawa mudarat kepada Pulau Pinang dan menjadi punca kepada 111 kejadian banjir dalam tempoh 2013 hingga 2017.

“Selama 10 tahun DAP mentadbir Pulau Pinang tanpa perancangan pelan induk ekonomi…sekarang ini bila langit gelap semua (penduduk Pulau Pinang) dah resah. Kalau dulu bila hujan kita tanya ada banjir tak, tapi sekarang kita tanya di mana banjir,” katanya berucap melancarkan manifesto BN Pulau Pinang dengan tema ‘Selamatkan Pulau Pinang’ di sini hari ini.

Beliau  berkata BN telah membina satu asas yang kukuh sepanjang 40 tahun memerintah negeri itu terutama dalam soal menjaga kepentingan alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.

 Dalam tempoh itu, 1,182 hektar hutan telah diwartakan sebagai taman negara dan menjadikan hutan paya bakau sebagai hutan simpan kekal demi menjaga alam sekitar sekali gus mengelakkan berlakunya bencana alam.

“Sejak 10 tahun lepas apabila diperintah kerajaan DAP, pentadbiran negeri dilakukan secara ‘auto-pilot’ dengan mengguna pakai pelan BN tetapi dipinda mengikut kepentingan kerajaan negeri,” katanya.

Teng  berkata selain pembangunan di lereng bukit, penduduk Pulau Pinang turut menghadapi kesukaran untuk memiliki rumah berikutan harga rumah yang tinggi, masalah tanah iaitu pembangunan hartanah dengan kepadatan terlalu tinggi dan kesesakan lalu lintas.

“Jika diberi mandat, kami janji untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dalam tempoh tiga tahun dengan membina ‘interchange’ di lokasi lalu lintas, mempertingkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam serta kemudahan ‘park and ride’ dan mewujudkan pelan penyuraian kesesakan lalu lintas,” katanya.

Beliau berkata bagi menyelesaikan masalah perumahan rakyat, jualan rumah kos rendah akan ditetapkan pada harga RM40,000 seunit termasuk satu tempat letak kereta percuma manakala jualan rumah kos sederhana rendah ditetapkan pada kadar antara RM80,000 dan RM120,000 termasuk satu tempat letak kereta percuma.

“Tiada rumah kos rendah dan Projek Perumahan Rakyat sepanjang tempoh 10 tahun dibina oleh kerajaan negeri,” katanya.

Teng berkata BN turut akan mengehadkan penjualan bangunan warisan kepada warga asing dan memastikan pengiktirafan Tapak Warisan Dunia UNESCO Bandar George Town kekal.

“Kami mahu pembangunan bercirikan Pulau Pinang, bukan bercirikan Hong Kong…Kami tidak mahu Pulau Pinang menjadi mini Singapura tetapi kekal sebagai George Town Pulau Pinang,” katanya.

Dalam manifesto itu, BN turut berjanji cukai pintu dan cukai tanah untuk rumah kos rendah, sederhana rendah dan rumah kampung dikecualikan, pemberian dana khas kepada pasangan yang akan melangsungkan perkahwinan kali pertama sebanyak RM2,000 dan menaikkan bantuan warga emas  kepada RM300 setahun.

Selain itu, manifesto BN juga menjanjikan pakir percuma di kawasan perumahan, tarif air kediaman akan dikekalkan selama lima tahun, mewujudkan kembali warden trafik di kawasan sekolah dan mewujudkan Yayasan Pelajaran Pulau Pinang untuk membantu bayaran yuran kemasukan ke universiti. - Bernama

1 comments: