KETIKA ditugaskan membuat liputan kempen calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya melawat kuil di Jalan Pinang Nirai, Balik Pulau lebih lima tahun lepas, penulis berasa agak skeptikal.
Pada pandangan penulis, seorang ahli politik sanggup berbuat apa sahaja demi mendapat undi dan mungkin akan ‘hilang’ selepas menang.
Ditakdirkan, Hilmi berjaya merampas kerusi berkenaan daripada PKR dalam Pilihan Raya Umum Ke -13 (PRU-13) seterusnya dilantik sebagai Timbalan Menteri Kesihatan.
Perkembangan berkenaan menyebabkan masa Hilmi lebih banyak dihabiskan di Putrajaya serta program-program melibatkan kementerian di seluruh negara sekaligus firasat awal bahawa beliau mungkin ‘hilang’ di Balik Pulau ada asasnya.
Bagaimanapun, tanggapan berkenaan ternyata meleset kerana di sebalik kesibukan beliau, boleh dikatakan hampir saban minggu Hilmi mencuri masa menghadiri program-program melibatkan rakyat di situ malahan pengundinya tidak terasa beliau sebenarnya bermastautin di luar kawasan.
UMNO Bahagian Balik Pulau juga ketika itu pernah diiktiraf sebagai UMNO Bahagian yang paling banyak menganjurkan program.
Sementara itu, dalam kalangan hampir 60,000 pengundi di Balik Pulau, sebenarnya terdapat 2,600 orang pengundi India berdaftar di Parlimen berkenaan.
Mengambil kira pertarungan sengit dalam PRU di Balik Pulau sejak 2008, angka 2,600 itu sebenarnya sangat penting dan untuk menentukan nasib bagi parti yang bertanding.
Pada 2008, PKR melakukan kejutan apabila menang dengan majoriti 708 undi walaupun mereka tewas di kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pulau Betong, Teluk Bahang dan Bayan Lepas.
Lima tahun selepas itu, BN berjaya mempertahankan ketiga-tiga DUN berkenaan selain Hilmi merampas kerusi Parlimen Balik Pulau dengan kelebihan 1,539 undi.
Berpeluang bertemu dengan lebih 200 penduduk berketurunan India dalam satu program anjuran Hilmi baru-baru ini, mereka kelihatan berpuas hati dengan khidmat yang disumbangkan oleh Hilmi dan BN di Balik Pulau.
Ia diakui sendiri anak jati Kampung Pondok Upeh, T.Navaindhran, 50, yang memaklumkan, sejak lebih 10 tahun lepas, kawasan berkenaan mengalami pembangunan pesat sekaligus memberi manfaat kepada penduduk.
Menurutnya, Balik Pulau kini tidak lagi terpencil kerana wakil rakyat telah melakukan tugas dengan baik.
Antara bukti nyata ujarnya, laluan untuk menghubungkan Balik Pulau Bayan Lepas dan Relau sudah bertambah baik hasil inisiatif Kerajaan Pusat selain banyak pusat perniagaan di sini selain kemudahan lain seperti dua balai bomba dan sebagainya.
Ditanya tentang peranan kerajaan negeri pula, pemandu teksi itu terdiam sejenak sebelum menyusun ayat.
Jelasnya, dia mengaku mengundi mereka namun keadaan telah berubah sekarang kerana mereka sudah besar kepala.
Oleh itu kali ini, dia dan keluarga akan kembali menyokong BN dan Hilmi kerana ternyata wakil rakyat mereka mampu jalankan tugas dengan baik serta mudah didekati. - Utusan Online
0 comments:
Post a Comment