Saturday 28 April 2018

Pertandingan Tiga Penjuru Di Tasek Gelugor


TASEK GELUGOR 28 April - Kerusi parlimen ini bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan penyandangnya iaitu calon Barisan Nasional (BN), Datuk Shabudin Yahya, calon PKR, Marzuki Yahaya serta calon Pas, Rizal Hafiz Roslan.

Shabudin tiba di Pusat Penamaan Calon P042 di Dewan Orang Ramai Sungai Dua pada pukul 8.30 pagi ditemani hampir 1,000 penyokong dan menghantar borang pencalonan pada pukul 9.06 pagi.

Marzuki pula tiba kira-kira pukul 8 pagi dan menghantar borang pencalonan pada pukul 9.01 pagi manakala calon Pas, Rizal Hafiz menghantar borang pencalonan pada pukul 9.14 pagi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya P042, Marlia Mohd. Belia yang mengendalikan proses penamaan calon mengumumkan ketiga-tiga calon berkenaan layak bertanding pada pukul 12.45 tengah hari tadi.

Sementara itu, pertandingan empat penjuru berlaku di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Berangan apabila wakil BN, Nor Hafizah Othman dicabar Azman Shah Othman (PRM); Mohd. Sobri Salleh (Pas) dan Datuk Mohd. Shariff Omar (PKR).

Pertandingan empat penjuru turut berlaku di kerusi DUN Teluk Air Tawar apabila calon BN, Datuk Zamri Che Ros berdepan wakil Pas, Haniff Haron; Lee Thian Hong (PRM) dan Mustafa Kamal Ahmad (PKR).

BN menerusi Muhammad Yusuff Mohd. Nor pula turun mempertahankan kerusi DUN Sungai Dua dengan dicabar Zahadi Ahmad (Pas) dan Yusri Ishak yang merupakan calon PKR. - Utusan Online

0 comments:

Post a Comment