Saturday 7 April 2018

Prakata PM Najib Dalam Manifesto BN Bagi PRU14


KUALA LUMPUR, 7 April – Berikut adalah prakata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena pelancaran Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya umum ke-14:

Salam sejahtera,

Rakan warganegara yang dikasihi,

Kini telah genap lima tahun sejak pertama kali saya memohon mandat untuk Barisan Nasional. Dari rakyat kerajaan ini dibentuk, kepada rakyat juga kerajaan ini harus dikembalikan untuk penilaian.

Selama lima tahun yang lepas, Barisan Nasional telah sedaya upaya melaksanakan Aku Janji 2013. Di sebalik krisis ekonomi dunia, kejatuhan harga minyak dan penyusutan nilai ringgit, kami telah melaksanakan hampir 99.4% janji pilihan raya lalu; selebihnya sedang berada dalam pelaksanaan.

Kami yakin telah memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dalam perkara keutamaan seperti pendidikan, kesihatan dan keselamatan. Di sebalik peningkatan kos perubatan dunia, kerajaan kekal mensubsidi hampir 95% kos perubatan rakyat.

Percayalah tidak ada rakyat yang terabai tanpa sebarang bantuan kerajaan atas sebab kemiskinan. Sebanyak tujuh juta orang menerima bantuan menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), walaupun sebahagiannya bukan berada dalam kategori miskin.

Selama berdekad terdapat tanggapan bahawa kawasan-kawasan tertentu diabaikan oleh kerajaan persekutuan. Kami telah berusaha, menyusun dan mengagihkan pembangunan yang lebih adil dan menyeluruh dari Perlis sehinggalah ke Sabah. Kini selepas lima tahun, kami percaya perubahan yang dibuat mula menampakkan hasil.

Masa depan negara ini adalah milik kita bersama tanpa mengira etnik, pegangan agama dan kepercayaan, mahupun kedudukan geografi. Justeru sejak setahun lalu kerajaan mengadakan ribuan sesi perbincangan dengan pelbagai kelompok rakyat yang berbeza umur, ideologi, latar pendidikan, kedudukan geografi, etnik dan agama bagi merangka Dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50). Kami mahu masa depan negara ini dicorak dan ditentukan secara bersama dengan rakyat.

Mandat akan datang adalah untuk masa depan kita. Barisan Nasional bukanlah sebuah kerajaan yang sempurna tanpa cacat cela. Namun kami telah melaksanakan banyak pembaharuan dan perubahan sesuai dengan kehendak rakyat. Atas kesedaran itu, saya memohon kepada rakan warganegara yang dikasihi agar menilai prestasi kerajaan Barisan Nasional secara adil dan menyeluruh.

Manifesto yang dikemukakan hari ini tidak berada di dalam isolasi, tetapi ia harus dibaca bersama Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan bajet-bajet tahunan yang telah dan akan dibentangkan.

Percayalah, undi anda untuk Barisan Nasional adalah mandat untuk kelangsungan kemakmuran, kesejahteraan dan keamanan sebuah negara kecil ini. Semoga Tuhan memberkati kita semua.

BERSAMA BARISAN NASIONAL, HEBATKAN NEGARAKU

Najib Razak
Pengerusi
Barisan Nasional

0 comments:

Post a Comment