Sunday 29 April 2018

Projek LJK Terangi Balik Pulau


BALIK PULAU 28 April - Jika dahulu ramai memilih tidak menggunakan laluan di kawasan ini khususnya pada waktu malam kerana keadaan jalan gelap dan berbahaya, namun keadaan kini jauh berubah melalui projek Lampu Jalan Kampung (LJK) yang dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Projek LJK Fasa 8 yang dilaksanakan oleh KKLW dengan kerjasama Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak 10 tahun lalu itu ter­nyata memberi sinar baharu kepada penduduk dan pelancong untuk ke bahagian barat Pulau Pinang.

Selain Balik Pulau, lima lagi kawasan Parlimen iaitu Kepala Batas, Tasek Gelugor, Batu Kawan, Permatang Pauh dan Ni­bong Tebal turut menerima kemudahan itu yang memberi manfaat kepada lebih 800,000 penduduk di 554 buah kampung di negeri ini.

Pemasangan lampu ja­lan jenis diod pemancar cahaya (LED) dan High Pressure Sodium Vapour (HPSV) melalui LJK8 merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan menerangi laluan dan kawasan penduduk di luar bandar.

Penduduk Teluk Kumbar, Alizan Osman, 50, berkata, pemasa­ngan lampu jalan itu secara tidak langsung meningkatkan tahap keselamatan dan mengurangkan kadar kemalangan terutama di beberapa kawasan berisiko.

Penduduk dari Kampung Matahari Naik, Salelah Salleh, 52, pula mengakui kemudahan tersebut membolehkan penduduk kam­pung mengadakan pelbagai aktiviti pada waktu malam sekali gus menjadikan suasana kampung semakin ceria.

“Ramai penduduk memilih untuk tidak keluar pada sebelah malam sebelum ini kerana bimbang soal keselamatan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Lampu Jalan Kampung (LJK9) Peringkat Pulau Pinang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Kumbar, Siti Nurul A’in Ja’afar, 15, projek LJK memudahkan orang ramai terutama golongan pelajar sepertinya menunggang basikal dan berjalan kaki ke sekolah pada awal pagi tanpa rasa bimbang walaupun hari masih gelap.

“Walaupun jarak dari rumah ke sekolah hanya kira-kira 500 meter, timbul juga perasaan takut kerana keadaan jalan yang gelap tanpa lampu jalan,” katanya.

Sementara itu, penunggang mo­tosikal, Syawal Jamaludin, 36, berpendapat kemudahan yang disediakan kerajaan itu bukan hanya memberi keselesaan kepada penduduk malah memberi banyak impak positif kepada pembangunan di Balik Pulau.

“Kemudahan jalan raya yang selesa amat penting kepada penduduk dan orang luar untuk datang ke sini kerana sebelum ini ramai yang mengelak untuk ke sini kerana keadaan jalan yang gelap,” katanya. - Utusan Online

0 comments:

Post a Comment