Monday 30 April 2018

PRU-14: Kelebihan Positif Buat BN Di Kepala Batas


KEPALA BATAS – Walaupun kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) baru bermula sejak penamaan calon semalam, aura atau tenaga positif dalam kalangan pengundi di Parlimen Kepala Batas telah dirasai untuk tempoh yang lebih lama daripada itu.

Calon yang juga penyandang kerusi Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, justeru, tidak hairanlah sekiranya kehadiran kesemua calon Barisan Nasional (BN) khususnya dalam kawasan Parlimen ini begitu dialu-alukan oleh penduduk setempat.

“Orang tak kata baru sekarang (hampir dengan pilihan raya) baru nampak muka sebab hubungan baik itu telah ada sebelum ini.

“Disebabkan itu juga, saya yakin untuk katakan, seandainya diizinkan Tuhan, kita bukan sahaja akan mengekalkan kesemua kerusi dalam Parlimen Kepala Batas, malah, kita boleh meningkatkan undi majoriti berbanding PRU lalu,” katanya.

Reezal Merican yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri ditemui pemberita semasa menghadiri Program Semarak Perpaduan Di Hati sempena Sambutan Minggu Perpaduan dan Kembara Pertubuhan Melayu, Cina, India dan Lain-lain (MCIO) di Taman Bertam Indah, di sini hari ini.

Turut hadir seorang lagi calon BN iaitu untuk kerusi DUN Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin.

Dalam pada itu, Reezal Merican menganggap kegagalan wakil PKR, Yaakob Osman menjadi calon untuk kerusi DUN Penaga semalam sebagai suatu nasib malang yang tidak dapat dielakkan.

Reezal Merican berkata, beliau bersimpati dengan nasib Yaakob, namun, menolak untuk memberikan komen lanjut berhubung masalah yang menimpa calon berkenaan.

“Di Kepala Batas, kita raikan semua calon yang bertanding sebagai satu pesta demokrasi dan tidak pernah menganggap ­ketiadaan calon berkenaan (Yaakob) sebagai satu kelebihan untuk menang,” katanya.

Semalam, borang penamaan calon yang dikemukakan Yaakob ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas semakan mendapati, calon berkenaan telah diisytiharkan muflis. - Utusan Online

0 comments:

Post a Comment