Friday 6 April 2018

SPR Tentu Tarikh PRU14 Selepas Terima Notis Rasmi Pembubaran Parlimen, DUN


PUTRAJAYA, 6 April – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) setelah menerima notis rasmi pembubaran daripada Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, selepas menerima notis tersebut, pihaknya mempunyai tempoh masa selama 10 hari untuk mengadakan mesyuarat khas tersebut.

Mesyuarat itu akan menentukan tarikh-tarikh penting PRU 14 seperti tarikh keluar writ, tarikh penamaan calon, tarikh pengundian undi awal bagi anggota tentera dan polis serta tarikh pengundian pilihan raya, katanya.

“Selagi kita tidak terima notis daripada Speaker Dewan Rakyat, kita tunggu sahaja. Mungkin dalam sehari dua ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra, di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini mengumumkan pembubaran Parlimen esok bagi memberi laluan kepada PRU14 diadakan.

Mohd Hashim tidak menolak kemungkinan SPR akan mengadakan mesyuarat khas itu pada minggu depan dan membuat pengumuman tarikh-tarikh penting PRU14 sebaik sahaja selesai mesyuarat khas itu kelak.

Menurutnya, seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, SPR perlu menjalankan pilihan raya umum dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Dewan Rakyat.

Ditanya mengenai mesej yang tersebar melalui aplikasi Whatsapp berkenaan tarikh-tarikh penting PRU14, beliau berkata mesej itu tidak benar kerana SPR belum mengadakan mesyuarat bagi menentukan tarikh tersebut.

“Mesej ini dari tahun lepas lagi sudah keluar. Saya sendiri pun tidak tahu bila perdana menteri umumkan (pembubaran Dewan Rakyat sebelum ini),” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hashim berkata Daftar Pemilih Suku Keempat 2017 yang mengandungi 14,968,304 pemilih berdaftar akan digunakan untuk PRU14. Bernama

0 comments:

Post a Comment