Thursday 26 April 2018

Tampil Calon Baharu Penuhi Cita Rasa Semasa


KEPALA BATAS: Strategi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang menampilkan 31 calon muka baharu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bukan bermakna 'takut' seperti yang digambarkan pakatan pembangkang, sebaliknya memberi isyarat jelas kepada rakyat bahawa ia mengikut cita rasa dan keperluan semasa.

Timbalan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata calon yang diletakkan BN negeri dilihat mampu memberi tawaran yang lebih baik kepada rakyat apabila terdiri daripada gandingan baharu dan lama.

Katanya, penampilan calon muka baharu juga menampakkan BN menolak pemimpin yang sudah 'usang' dengan memberi laluan kepada mereka yang lebih layak dan muda untuk mendokong inspirasi negara.

"Kita tak nak pemimpin berusia 93 tahun, 84 tahun dan pemimpin anak beranak seperti tiada orang lain lagi yang layak kerana sampai bila nak ada perubahan jika ia dipimpin orang yang datang pada masa lampau.

"Syukurlah BN tidak seperti itu apabila kita mempunyai semangat untuk merekayasakan parti dan kepimpinan negeri serta negara untuk pastikan berlakunya kelangsungan dalam kepimpinan hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Calon Pakatan Harapan Parlimen Kepala Batas, Dr Zaidi Zakaria yang menyatakan bahawa strategi BN negeri menampilkan 31 calon muka baharu dilihat mereka tidak yakin pada wakil rakyat lama untuk menarik pengundi khususnya generasi Y pada PRU kali ini.

Reezal Merican ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada 180 pesawah di Dewan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lahar Bubu, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya, meletakkan calon muka baru adalah keperluan semasa dan kesinambungan parti dengan berharap ia melahirkan persaingan sihat antara parti yang bertanding.

Sementara itu, Reezal Merican yang juga calon BN kerusi Parlimen Kepala Batas berkata, penampilan calon baharu dan muda penting kerana dasar transformasi negara yang kini mahu menuju ke arah 2050.

"Bila kita nak buat sesuatu perkara yang bersifat futuristik di masa hadapan sudah tentu kita kena tampilkan calon baharu dan muda," katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment