Sunday 1 April 2018

Tiada Lagi Nasihat Untuk Tun Mahathir


KEPALA BATAS 31 Mac – Tiada lagi nasihat yang boleh diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad atas keterlanjurannya bersekongkol dengan DAP sehingga menganggap Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utamanya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, rakyat kini menjadi hakim yang akan menentukan nasib Pengerusi Pakatan Harapan yang diketuai DAP itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menurutnya, selama lebih 50 tahun Dr. Mahathir berada dalam kancah politik di negara ini selain 22 tahun meme­gang jawatan Perdana Menteri, beliau sama sekali tidak pernah menerima DAP.

“Tapi dua tahun kebelaka­ngan ini, beliau mula bertukar watak apabila mula berkawan baik dengan DAP malah sanggup ‘tidur sebantal’ dengan musuh lamanya itu sehingga menjadikan UMNO dan BN sebagai seterus utamanya.

“Jadi pada saya tiada lagi nasihat yang boleh diberikan kepada beliau sebaliknya tunggu sahajalah nasibnya dalam PRU-14 ini sama ada orang Melayu akan terus menyokong tindakannya selama ini,” katanya.

Mahdzir ditemui pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Projek Pembinaan Baharu Sekolah Mene­ngah Pendidikan Khas Persekutuan Pulau Pinang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Pengarah Pendidikan negeri, Mohd. Jamil Mohamed.

Pembinaan sekolah yang menelan belanja sebanyak RM45 juta itu akan dibangunkan di atas tanah seluas 8.29 hektar dan dijangka siap sepenuhnya pada 30 April 2020.

Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan menambah, semakin dekat dengan PRU-14 ini, DAP mula aktif menyebarkan berita-berita palsu sebagai strategi untuk mengalihkan undi rakyat.

Jelasnya, antara isu yang menjadi tular adalah dakwaan DAP bahawa akan berlaku tsunami politik Melayu pada PRU-14 sepertimana berlaku tsunami politik Cina pada 2008 dan 2013.

Pada masa sama Mahdzir berkata, tidak mustahil Dr. Mahathir akan membuat pusingan-U selepas ini bagi menelan semula segala tohmahan yang dibuat terhadap BN serta mengakui segala usaha yang dibuat oleh kerajaan terbaik untuk rakyat.- Utusan Online

0 comments:

Post a Comment