Friday 27 April 2018

Tidak Gentar Lawan Bekas Bos - Nor Hafizah Othman Calon BN N04


TASEK GELUGOR: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Berangan, Nor Hafizah Othman tidak gentar berdepan calon dari pakatan pembangkang, Datuk Seri Shariff Omar iaitu 'bekas bos' ketika memegang jawatan Ketua Puteri Bahagian Tasek Gelugor.

Nor Hafizah, 42, berkata beliau menghormati Shariff ketika sama-sama bekerja di bawah satu bumbung bahkan mengakui ilmu politik yang diperolehnya adalah melalui pemimpin berkenaan.

Bagaimanapun, demi perjuangan BN dan UMNO bahagian, beliau terpaksa menentang bekas sifunya itu yang mengumumkan bertanding di kerusi sama pada Pilihan Raya Umum ke-14(PRU-14).

"Saya bekerja dengan (Datuk Seri) Shariff dalam tempoh lapan tahun lalu dan melalui beliau, banyak sangat saya belajar mengenai selok belok politik.

"Ilmu itu secara tidak langsung meluaskan pengalaman saya dalam bidang politik hingga dilantik menjawat beberapa jawatan yang ia juga memberi kelebihan serta tidak gentar untuk saya menentang bekas bos sendiri," katanya ketika ditemubual pemberita di Pejabat UMNO Tasek Gelugor, di sini, hari ini.

Kesemua DUN dalam Parlimen Tasek Gelugor akan menyaksikan perlawanan empat penjuru antara BN, pakatan pembangkang, PAS dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Nor Hafizah berkata, strategi BN meletakkan dirinya sebagai calon atas tiket kuota wanita di kawasan Permatang Berangan memecah tradisi yang sebelum itu didominasi pemimpin lelaki.

"Ini adalah penghormatan besar yang diberikan kepada wanita dan meningkatkan semangat saya untuk mengekalkan kawasan ini menjadi milik BN.

"Pada peringkat awal mungkin pengundi di kawasan ini tidak terbiasa dengan calon wanita kerana selalu melihat calon lelaki sahaja di kawasan mereka, tetapi melalui pengalaman saya, ia tidak akan menjadi masalah untuk menarik pengundi kerana sejak dulu lagi saya turun ke padang membantu jentera maka penduduk mengenali saya," katanya.

Nur Hafizah yang juga seorang peguam adalah lulusan daripada Universiti Islam Antarabangsa(UIA).

Selain memegang jawatan Ketua Puteri UMNO Bahagian Tasek Gelugor, beliau adalah Ketua Puteri UMNO Pulau Pinang dan Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment