Saturday 7 April 2018

Tsunami Melayu Sentimen Yang Sengaja Diwujudkan Pembangkang – Khairy


TASEK GELUGOR, 7 April – Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menyifatkan tsunami Melayu sebagai satu sentimen yang sengaja diwujudkan pembangkang untuk menunjukkan orang Melayu tidak lagi bersama UMNO pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata hakikatnya, tsunami Melayu tidak wujud dan masyarakat Melayu masih menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Berdasarkan kajian secara mendalam yang dibuat oleh UMNO dan BN mendapati sebahagian besar pengundi Melayu masih bersama UMNO dan BN,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Briged Gempur 2314 Pemuda Barisan Nasional Pulau Pinang di Kubang Menerong di sini hari ini.

Badan pemikir pembangkang, Invoke, baru-baru ini meramalkan bahawa Kedah, Perak dan Johor akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan selain mendapat kemenangan besar di Selangor dan Pulau Pinang berikutan tsunami Melayu.

Pengarah Invoke Rafizi Ramli ketika membentangkan kaji selidik terhadap 2,000 responden pada forum “GE14 Prediction Forum: What The Big Data Tells Us?” di Kuala Lumpur, berkata kaji selidik mendapati sokongan Melayu terhadap BN menurun kepada 28 peratus bulan lepas berbanding 41 peratus pada Disember tahun lepas.

Sementara itu, mengenai langkah Pakatan Harapan menggunakan logo PKR pada pilihan raya umum ini, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata ia jelas menunjukkan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad sanggup mengetepikan perjuangan asalnya menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kesanggupan Dr Mahathir menunjukkan pemimpin itu telah melupakan perjuangannya yang tidak mahu Anwar menjadi perdana menteri.


“Ini satu keputusan yang saya rasa orang pun boleh nilai, bendera PKR wujud kerana untuk menentang Dr Mahathir dan kini akhirnya beliau (Mahathir) sanggup ketepikan prinsip perjuangan asal untuk menentang Anwar Ibrahim dan bertanding di bawah panji Reformasi semata-mata kerana hendak berkuasa,” katanya.

Dr Mahathir, dalam program di Johor malam tadi mengumumkan Pakatan Harapan akan menggunakan logo dan simbol PKR untuk bertanding pada pilihan raya umum itu.

Penggunaan logo bagi kegunaan keempat-empat parti iaitu Dap, PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu dibuat selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap PPBM. - Bernama

0 comments:

Post a Comment