Tuesday, 3 April 2018

Tsunami Politik Melayu Mustahil


KEPALA BATAS 3 April - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menafikan akan berlakunya 'tsunami politik' dalam kalangan orang Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, hal ini boleh dilihat berdasarkan sambutan yang diterima pengunjung terhadap beberapa program anjuran kerajaan ketika ini.

Sebagai contoh jelasnya, program Karnival Kepala Batas di Hatiku yang diadakan baru-baru ini berjaya menarik kehadiran sehingga 20,000 orang manakala program Sentuhan Rakyat yang diadakan di seluruh negara juga mencatatkan jumlah kehadiran yang sangat tinggi.

“Ini berbeza jika dibandingkan dengan program anjuran pembangkang khususnya Pakatan Harapan seperti untuk membantah usul persempadanan semula dan sambutan ulang tahun ketiga GST (cukai barang dan perkhidmatan) yang gagal menarik kehadiran orang ramai.

“Semua indikator yang saya sebutkan ini tidak boleh dijadikan perlambangan atau ukuran bahawa akan berlakunya ‘tsunami Melayu’ pada PRU-14,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. - Utusan Online

0 comments:

Post a Comment