MEMASUKI separuh masa kedua kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), parti politik bertanding sudah semestinya mendapat gambaran awal berhubung kecenderungan pengundi.
Pengamatan tersebut lebih kritikal bagi UMNO Pulau Pinang selaku pembangkang dalam merampas semula negeri itu daripada DAP.
Beban lebih besar digalas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, DATUK SERI ZAINAL ABIDIN OSMAN memandangkan hanya parti itu yang berjaya memenangi kerusi di negeri ini pada pilihan raya umum lalu. Dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, MOHD. KHUZAIRI ISMAIL, beliau turut merumuskan pandangannya berhubung 10 tahun
negeri ini di bawah pentadbiran DAP.
UTUSAN MALAYSIA: Selepas enam hari tempoh kempen, bagaimanakah Datuk Seri melihat situasi di negeri ini?
ZAINAL ABIDIN: ADA beberapa perkembangan menarik yang dapat saya perhatikan sepanjang tempoh berkempen setakat ini, antaranya yang paling ketara adalah ‘tsunami Cina’ yang semakin reda. Jika kita lihat di kebanyakan kawasan di negeri ini, pengundi Cina tidak seghairah atau begitu teruja dengan kempen pembangkang seperti pada dua pilihan raya umum lalu. Paling ketara adalah pada malam kelmarin iaitu ketika ceramah mega DAP yang dihadiri pemimpin utama pembangkang di padang sekolah Han Chiang, Georgetown. Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), kira-kira 30,000 orang membanjiri padang itu yang menyaksikan DAP kemudiannya merampas negeri ini. Begitu juga pada PRU-13 yang mana kira-kira 20,000 orang mendengar ceramah mereka di tempat sama. Tetapi malam kelmarin, hanya antara 7,000 hingga 8,000 orang hadir dan ini pada saya menunjukkan DAP semakin hilang pengaruh ‘tsunami Cina’.
Pada pandangan Datuk Seri mengapakah situasi itu berlaku?
Masyarakat Cina sebenarnya melihat banyak kesilapan dan perkara yang dilakukan Kerajaan DAP Pulau Pinang yang tidak menyenangkan hati mereka. Antaranya dalam isu melibatkan pembangunan, kepadatan rumah yang tinggi, bukit yang ditarah, kesesakan, pencemaran alam sekitar, isu rasuah Ketua Menteri, terowong dan banyak lagi. Isu-isu ini membuatkan mereka memikirkan semula tentang sokongan terhadap DAP. Sekarang mengikut sentimen, kaum Cina yang sebelum ini berada bersama DAP mula kembali kepada kedudukan atas pagar. Sebab itu dalam beberapa hari akan datang iaitu sebelum hari mengundi, kita harap mereka dapat mengubah minda dan diyakinkan untuk bersama BN. Sebab selama 10 tahun sejak DAP merampas negeri ini, kaum Cina dan India tidak diwakili oleh pemimpin daripada Kerajaan Pusat dan keadaan ini adalah satu kerugian buat mereka.
Jika BN diberikan kerusi yang cukup dan kita boleh membentuk kerajaan negeri, sudah semestinya kita yakin kita dapat menjadi kerajaan yang jauh lebih baik daripada DAP ketika ini. Tetapi jika golongan atas pagar belum beralih sepenuhnya kepada BN, tetapi memberi beberapa kerusi tambahan, kita juga boleh jadi pembangkang yang kuat di negeri ini.
Adakah keterlaluan untuk menyimpulkan masyarakat Cina di negeri ini mula kembali kepada BN?
Masyarakat Cina di negeri ini mereka agak berbeza dengan di tempat atau negeri lain. Mereka adalah kelompok pengundi yang menganalisis setiap perkara. Bukannya berdasarkan khabar angin atau sentimen semata-mata. Sebagai contoh pada 1969, sewaktu sokongan masyarakat Cina di seluruh negara bertambah kuat, tetapi masyarakat Cina di sini memilih Gerakan untuk menjadi kerajaan negeri. Tetapi dalam situasi berbeza, mereka juga pernah menolak orang paling berjasa di negeri ini iaitu Tun Dr. Lim Chong Eu yang pernah menjadi Ketua Menteri selama 21 tahun. Orang kedua paling berjasa dalam pembangunan negeri ini iaitu Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon juga pernah ditolak selepas menjadi Ketua Menteri selama 18 tahun. Saya melihat masyarakat Cina di negeri ini berani untuk menjadi berbeza dengan penduduk di negeri lain. Pada waktu DAP begitu kuat di seluruh negara, mereka memilih menyokong Gerakan. DAP misalnya pernah ada satu kerusi DUN sahaja di negeri ini. Tetapi sekarang mereka beri sehingga 30 kerusi kepada DAP dan sekutunya.
Bagaimanakah pula dengan prestasi UMNO negeri ini menjelang PRU-14?
Bagi UMNO, kita yakin boleh menang sebahagian besar kerusi dan saya setakat ini juga berpuas hati dengan pergerakan jentera dan calon kita. Mereka bergerak secara tersusun dan tanpa masalah dan berjaya tangani lebih awal isu-isu yang mungkin timbul dan boleh mengganggu gerak kerja kita. Saya kira berbanding pilihan raya umum (PRU) dulu, PRU kali ini menunjukkan kita lebih susun dan terkawal sebab kita sudah rancang lama. Ini sebenarnya hanya kerja-kerja akhir (finishing touch) daripada usaha yang kita lakukan sejak beberapa tahun lalu. Kesungguhan jentera UMNO juga saya perhatikan luar biasa dan mereka berpegang kepada semangat yang mana apabila BN dan UMNO serta pemimpin mereka dilihat berada dalam keadaan tercabar, mereka akan bangkit mempertahankan parti dengan semangat kepartian dan kesukarelaan yang tinggi.
Mungkinkah ada ‘tsunami Melayu’ seperti didakwa pembangkang?
Memang ada yang bercakap tentang tsunami Melayu, tetapi tsunami itu kalau betul mahu terjadi akan menunjukkan tanda-tanda awal. Tetapi di Pulau Pinang, kita tidak melihat langsung adanya tanda-tanda itu. Keadaannya (sokongan orang Melayu) di sini sangat tenang, tidak ada gelora.
Ramai melihat Guan Eng lebih gemar berpolitik daripada menjadi Ketua Menteri. Apa pandangan Datuk Seri?
ZAINAL ABIDIN: Selama 10 tahun menjadi Ketua Menteri, saya melihat Guan Eng masih tidak dapat keluar daripada kepompong diri sebagai seorang pembangkang. Beliau tidak dapat meletakkan diri atau berfikir sebagai Ketua Menteri. Sebab itu kita lihat segala pergerakan, kenyataan, perancangan dan kehidupannya lebih kepada politik. Ini mungkin kerana beliau dilatih sejak kecil sebagai pembangkang. Sebab itu apabila DAP menjadi kerajaan, Guan Eng tidak boleh tukar pendekatan sebagai pemimpin. Tindak-tanduk beliau juga tidak mencerminkan kewibawaan sebagai seorang Ketua Menteri.
Ini berbeza dengan negeri-negeri di bawah pentadbiran BN yang meletakkan agenda pembangunan, pembelaan serta kesejahteraan rakyat sebagai perkara utama. Tetapi DAP meletakkan politik itu sebagai keutamaan yang mana bagi saya mereka tersilap meletakkan kepentingan. Pemimpin pembangkang termasuk DAP sepanjang masa berpolitik sehingga perkara berkaitan rakyat bukan lagi menjadi keutamaan. Selepas 10 tahun, keadaan ini perlu diubah dan penduduk pun sudah penat melihat kelakuan politik mereka. Sebab itu penduduk negeri ini perlu bermula dengan sesuatu yang baharu iaitu memberi semula kepercayaan kepada BN untuk memerintah.
Selama 10 tahun di bawah pembangkang, apakah kerugian penduduk negeri ini yang ‘terpisah’ daripada Pusat?
ZAINAL ABIDIN: Kerugian utama adalah pembangunan tanah dan kelulusan pelan pembangunan. Sejak 10 tahun lalu, Kerajaan Pusat cuba sedaya upaya membangunkan rumah kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik kerana memahami kesukaran penduduk memiliki kediaman sendiri. Sejak 2013 sehingga ke hari ini, kita sudah menghantar pelan untuk membina 10,000 unit rumah mampu milik itu kepada kerajaan negeri. Tetapi tiada satu pun pelan itu diluluskan.
Bidang kuasa kelulusan itu di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang melalui Jawatankuasa Perancangan Negeri (SPC) yang diketuai Ketua Menteri. Tetapi pelan ini yang dikemukakan oleh tujuh agensi Kerajaan Pusat tidak diluluskan. Selain itu, sebanyak 30,000 unit sedang menunggu untuk dihantar bagi kelulusan perancangan kepada kerajaan negeri sebaik sahaja pelan awal diluluskan. Ini bermakna sekurang-kurangnya 40,000 unit rumah mampu milik boleh dibina untuk dimanfaatkan penduduk tetapi tidak diluluskan kerajaan negeri.
Isu pertukaran tanah pertanian juga antara yang menjadi kebimbangan, apakah pandangan Datuk Seri?
Perkara berkaitan kelulusan pertukaran syarat tanah pertanian kepada tanah komersial juga menjadi kerugian besar kepada penduduk. Negeri ini ada banyak tanah pertanian seperti di Balik Pulau, Kepala Batas dan Nibong Tebal. Ini adalah tanah pertanian yang berada di kawasan luar bandar dan dimanfaatkan orang Melayu. Tetapi banyak tanah ini sudah ditukar syarat kepada tanah pembangunan komersial.
Ini pastinya satu kerugian kepada generasi masa depan sebab apabila semua tanah ini ditukar syarat, orang Melayu khususnya yang berada di luar bandar tidak lagi mempunyai kawasan untuk pertanian. Keadaan ini berlaku kerana kuasa kelulusan terletak pada kerajaan negeri. Kerugian rakyat juga adalah apabila banyak caj diperkenalkan dan dinaikkan kerajaan negeri seperti surcaj dan tarif air, caj tempat letak kereta dan kutipan tol yang masih diteruskan meskipun dijanjikan untuk dihapuskan. Selain itu ada juga caj yang dikenakan kepada pemaju. Ini adalah antara sebab mengapa harga rumah di negeri ini menjadi tinggi kerana pemaju memindahkan caj itu kepada pembeli.
Adakah bumiputera mendapat pembelaan sewajarnya?
Perkara bersangkutan dengan ekonomi luar bandar, bantuan usahawan atau agenda bumiputera tidak dilaksanakan sama ada secara langsung dan tidak langsung. Perkara ini terpaksa diambil alih oleh agensi kerajaan tetapi menerusi skop yang sangat kecil. Jika di bawah Kerajaan Pusat, pembangunan bumiputera menjadi agenda utama. Tetapi sekarang tidak ada agenda bumiputera di bawah Kerajaan DAP Pulau Pinang dan ini adalah kerugian kepada rakyat khususnya orang Melayu.
Adakah ini juga punca mengapa semakin banyak kampung Melayu hilang?
Di bawah BN, kita merancang supaya kira-kira 60 kampung tradisi Melayu yang terletak di tanah rizab dan tanah swasta di negeri ini dipertahankan. Kebanyakan kampung ini dibuka atau menumpang di atas tanah milik pihak lain dan pada bila-bila masa akan dipindahkan apabila tuan tanah mendapat perintah mahkamah. Malangnya kerajaan negeri tidak bersungguh-sungguh mahu mempertahankan kampung tradisi dan warisan Melayu ini. BN pula berdepan kekangan kerana kerajaan negeri ini tidak sealiran dengan Kerajaan Pusat.meskipun kita ada perancangan untuk menyusun semula kampung-kampung Melayu ini untuk dibangunkan dan dipindahkan dalam menjaga kepentingan penduduk. Setakat apa yang kita termampu hanyalah sumbangan sekali bayar (one-off) untuk dana pembangunan. Tetapi kita tidak mampu menggunakan kaedah sebegini untuk menyelamatkan semua kampung warisan di negeri ini. Sebab itu kita perlukan pendekatan holistik untuk menyelamatkan kampung-kampung ini yang hanya boleh dilakukan sekiranya BN menjadi kerajaan negeri.
Sumber - Utusan Online
Sumber - Utusan Online
0 comments:
Post a Comment