PERMATANG PAUH 7 Mei - Akibat hilang kepercayaan terhadap pimpinan PKR Pulau Pinang, 200 ahli dari empat cabang bertindak keluar parti, semalam.
Mereka yang diketuai Ahli Jawatankuasa PKR Cabang Tasek Gelugor, Mohd. Fauzi Hassan mengakui terabai di bawah PKR pimpinan Datuk Mansor Othman.
Menurutnya, ahli-ahli terbabit adalah dari Cabang Permatang Pauh, Tasek Gelugor, Bukit Mertajam dan Nibong Tebal.
Mohd. Fauzi berkata, mereka mengambil tindakan itu selepas tidak berpuas hati dengan pucuk kepimpinan PKR yang langsung tidak mempedulikan suara orang bawahan.
“Kami sering dipinggirkan oleh pimpinan parti dan langsung tidak dihiraukan oleh orang atas dan mereka seolah-olah menjadikan kami ini hiasan sahaja dalam PKR.
“Kami sudah hilang kepercayaan kepada Mansor malah tiada makna kami terus bertahan dalam parti,” ujarnya yang juga bekas Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Taman Desa Murni.
Tambahnya, golongan muda juga tiada tempat dalam PKR malah sukar untuk berbincang dengan pimpinan di peringkat negeri.
“Banyak kali kami cuba bawa suara dan masalah ahli kepada Mansor namun tiada sebarang maklum balas diberi malah ada dalam kalangan kami yang mula dipulaukan.
“Buat masa ini kami belum terfikir untuk menyertai parti lain dan tidak buat keputusan lagi menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-14,” katanya.
Pada masa sama, beliau berharap masalah yang dihadapi mendapat perhatian Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. - Utusan Online
0 comments:
Post a Comment