Saturday, 5 May 2018

Gabungan Pembangkang PKR Pakatan Yang Rapuh- Najib


TASEK GELUGOR 5 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan gabungan pembangkang PKR sebuah pakatan yang rapuh kerana tidak mempunyai kesepakatan antara semua parti dan ditubuhkan semata-mata untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri berkata, mereka seolah-olah tidak sayangkan masa depan negara dan rakyat apabila lebih mengutamakan untuk mencari salah kerajaan BN hari ini.

Menurutnya, biarpun banyak kebaikan yang dilaksanakan kerajaan BN, namun gabungan pembangkang PKR masih mencari silap dan akan melakukan perkara yang bertentangan.

“Kita bagi Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), mereka kata dedak tapi dalam manifesto mereka, akan diteruskan pula. Sehinggakan anak Tun Dr. Mahathir Mohamad pun hina penerima BR1M.

“Kita tidak faham apa dasar pembangkang ini yang tiada kesepakatan serta agenda khusus,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 2,000 penyokong BN di Pusat Komersial Tasek Gelugor, di sini hari ini.

Yang turut hadir, penyandang kerusi Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya dan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

Najib menambah, pembangkang juga hanya pandai berjanji namun tidak pernah ditepati berbanding BN yang melaksanakan 99.4 peratus janji yang dibuat dalam manifesto pilihan raya umum lalu.- Utusan Online

0 comments:

Post a Comment