Thursday 3 May 2018

Henti Spekulasi Selagi Belum Dibicara


BALIK PULAU 3 Mei – Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy meminta semua spekulasi terhadap syarikat itu dihentikan selagi kes berkenaan tidak dibicarakan di mahkamah.

Menurut beliau, atas sebab yang sama juga, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak enggan memfailkan saman terhadap media asing buat masa ini.

“Media antarabangsa ini keba­nyakannya menggunakan maklumat yang diperoleh daripada saman sivil DoJ (Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat) sahaja.

“Ketika ini, saman sivil itu belum ada kesudahan (belum dibicarakan di mahkamah). Jadi, kita tidak boleh kata sama ada benda itu betul atau tidak dan maklumat itu betul atau tidak.

“Tentang spekulasi yang dimainkan oleh akhbar-akhbar antarabangsa itu pula, itu memang kerja mereka iaitu hanya melaporkan, dan kita tak boleh halang,” katanya dalam Sesi Penerangan dan Soal Jawab 1MDB di Politeknik Balik Pulau di sini hari ini.

Yang turut menjadi ahli panel pada program yang dihadiri calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya itu ialah Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam.

Mengulas lanjut, Arul Kanda turut membandingkan isu yang berlaku itu dengan isu banglo Ketua Menteri, Lim Guan Eng baru-baru ini.

Katanya, ketika kes itu baru difailkan, tidak ada seorang pun wakil daripada BN mendakwa Guan Eng bersalah.

“Jadi, nampak hipokrit tak dalam hal ini? Buatlah penilaian sendiri (bandingkan dengan isu 1MDB),” ujar beliau.

Dalam pada itu, Arul Kanda menafikan beliau menjadi ‘alat’ BN untuk berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Saya hanya mewakili jurucakap syarikat sebab 1MDB ini adalah syarikat milik penuh kerajaan. Itu sahaja,” katanya. - Utusan Online

0 comments:

Post a Comment