Tuesday 8 May 2018

Isu Calon Luar Tidak Relevan – Sheik Hussein


NIBONG TEBAL - Biarpun dianggap sebagai calon luar dan datang bertanding di Parlimen Ni­bong Tebal, perkara itu sama sekali tidak menjejaskan peluang Datuk Sheik Hussein Mydin untuk mencipta sejarah di kawasan tersebut.

Ini kerana menurut Ketua UMNO Bahagian Bagan berke­naan, jika isu calon luar yang diperdebatkan, penyandang ke­rusi Parlimen tersebut, Datuk Mansor Othman juga bukanlah anak tempatan namun dipilih menjadi wakil rakyat sejak lima tahun lalu.

Sheik Hussein, beliau telah berada di Nibong Tebal sejak lebih setahun lalu dan menjalankan kerja lebih daripada apa yang Mansor lakukan, malah telah menjelajah kira-kira 70 peratus kawasan di situ.

“Tiada sebab sentimen calon luar dijadikan alasan untuk menolak saya atau Barisan Nasional (BN) kerana saya buat kerja lebih baik daripada Ahli Parlimen sedia dan dibuktikan dengan pelbagai program yang dilaksanakan.

“Biarpun saya akui saingan kali ini agak sengit, namun saya ya­kin BN akan kembali merampas kerusi Parlimen ini selepas melihat sokongan pengundi kepada calon-calon kita di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Sheik Hussein, jentera BN telah menjalankan kerja pada momentum terbaik malah jauh lebih baik daripada jentera PKR mahupun daripada Pas atau calon Bebas.

Jelas Sheik Hussein, beliau juga mendapat sokongan padu daripada parti-parti komponen yang bertungkus-lumus merampas kembali DUN Jawi dan Sungai Bakap yang kini disandang DAP dan PKR.

Beliau turut mengakui Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah penentu kepada survival BN serta sebagai medan untuk meneruskan agenda pembangunan yang telah dijalankan selama ini.

“Selain daripada manifesto yang saya bentangkan sebelum ini, ada beberapa perkara yang saya yakin mampu memberi manfaat kepada penduduk Nibong Tebal sekiranya BN kembali berkuasa di sini.

“Antara yang utama adalah sekiranya kerusi Parlimen dan DUN Jawi berjaya dirampas oleh BN, saya akan pastikan perkhidmatan ETS akan berhenti di Ste­sen Keretapi Tanah Melayu Berhad Nibong Tebal yang akan memudahkan perjalanan ke Kuala­ Lumpur,” ujarnya.

Ditanya persiapan saat-saat akhir, Sheik Hussein berkata, pi­haknya bersedia berhadapan hari penentuan pada 9 Mei ini selepas melakukan persiapan sejak sekian lama untuk ‘berperang’ pada PRU-14. - Utusan Online

0 comments:

Post a Comment