Sunday 6 May 2018

Jangan Terpengaruh Pembangkang Putar Belit Kenaikan Harga – Badruddin


KEPALA BATAS, 6 Mei – Rakyat diminta tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang sering memanipulasi isu kenaikan harga barang dengan matlamat untuk menghentam kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata kerajaan Persekutuan sebenarnya sentiasa berusaha malah amat prihatin dalam menangani masalah kos sara hidup rakyat masa kini.

“Kerajaan melalui FAMA sentiasa proaktif dengan menganjurkan program Jimat Belanja Dapur yang berperanan membantu rakyat membeli barang dapur pada harga yang lebih murah daripada pasaran.

“Seperti yang kita tahu, harga barang asas agak mahal di pasaran sekarang kerana ia dikawal dan dimanipulasi oleh orang tengah.

“Apabila harga barang naik, maka pihak pembangkang akan menjadikannya modal untuk mempengaruhi rakyat (supaya) menghentam kerajaan,” katanya kepada pemberita pada program Jimat Belanja Dapur di sini, hari ini.

Program itu dirasmikan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 Rabu ini.

Badruddin berkata sebagai agensi kerajaan, FAMA sentiasa membantu menstabilkan harga barang di pasaran supaya ia tidak membebankan rakyat.

Melalui program Jimat Belanja Dapur, pengguna dapat menjimatkan perbelanjaan bagi 27 barang keperluan makanan terpilih seperti ikan, ayam, sayuran dan barang-barang runcit yang dijual dengan harga lebih rendah antara lima dan 20 peratus daripada harga pasaran.

0 comments:

Post a Comment