Saturday 5 May 2018

Lebih Utamakan Pembangunan


KEPALA BATAS - Biarpun pelbagai tawaran baharu diberikan kepada pengundi oleh pihak-pihak yang berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), namun Kepala Batas sentiasa menjadi kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Malah, perkhidmatan terbaik yang diberikan oleh wakil rakyat BN sejak sekian lama menjadikan kawasan itu memiliki ‘DNA’ yang tidak mungkin diubah.

Penyandang kerusi Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, rakyat di kawasan itu sememang­nya matang dalam berpolitik kerana tidak mudah terpengaruh dengan isu yang dibawa pembangkang.

“Semua pihak yang berkempen akan membuat tawaran baharu kepada pengundi, namun di benak penduduk Kepala Batas adalah wajah-wajah wakil rakyat yang memberikan perkhidmatan kepada mereka selama ini.

“Pada masa sama, mereka juga tidak mudah terpengaruh dengan isu yang dibawa oleh pembangkang tetapi yang diutamakan oleh mereka adalah agenda pembangunan yang dibawa oleh kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika mengadakan ziarah ke Kampung Air Melintas Besar, di sini hari ini.

Tambah Reezal Merican, selepas menjadi Ahli Parlimen di kawasan itu sejak lima tahun lalu, beliau melihat ikatan antara penduduk dan wakil rakyat terjalin kuat setiap kali mengadakan pertemuan sama ada secara santai atau majlis-majlis rasmi.

Jelasnya, apa yang utama adalah khidmat berterusan sejak se­kian lama yang menjadikan nama wakil rakyat sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Ne­ge­ri (DUN) tidak akan lekang daripada ingatan. - Utusan Online

0 comments:

Post a Comment