Tuesday 8 May 2018

Masa Untuk Permatang Pauh Berubah – Mohd Zaidi


BUKIT MERTAJAM, 8 Mei – Permatang Pauh, kawasan yang hampir 20 tahun diwakili pembangkang tetapi tidak pernah dipinggir dalam pembangunan oleh Kerajaan Persekutuan dan dalam tempoh itu juga pelbagai usaha dilakukan untuk kebajikan penduduk yang seolah-olah dilupakan wakil rakyat mereka.

Walaupun kawasan itu merupakan kubu kuat PKR, jentera UMNO yang diterajui ketua bahagiannya Datuk Mohd Zaidi Mohd Said sentiasa ‘turun membantu’ penduduk yang memerlukan.

Beliau tidak pernah mengenal erti penat dan lelah serta jemu tidak kira siang atau malam membantu masyarakat Permatang Pauh walaupun beliau bukan wakil rakyat yang dipilih di kawasan itu.

“Pelbagai program telah kami buat dalam kawasan Permatang Pauh ini dalam memperkasakan dua institusi penting iaitu pendidikan dan agama. Ini dua perkara yang menjadi tumpuan saya dalam Parlimen ini. Bagi institusi agama dalam beberapa tahun ini, kami berjaya menyiapkan dua masjid baharu iaitu pada 2015 Masjid Timah di Seberang Jaya dan awal tahun ini Masjid Kubang Ulu di Penanti.

“Pada masa ini juga sedang berlangsung kerja-kerja untuk membaiki dan menaik taraf 20 surau di Parlimen ini daripada peruntukan ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri),” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Yayasan An Nadhoh baru-baru ini.

Mohd Zaidi berkata beliau amat berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana walaupun Permatang Pauh berada di bawah parlimen pembangkang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tetap menyalurkan peruntukan bagi membaiki infrastruktur di kawasan itu.

Justeru dengan pembangunan hasil bantuan kerajaan BN, Mohd Zaidi yang juga calon Parlimen Permatang Pauh yakin akan berlaku angin perubahan pengundi untuk beralih mengundi UMNO dan BN pada pilihan raya umum ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini, Mohd Zaidi akan ditentang Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan calon PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden.

“Secara peribadi saya melihat mood pengundi Permatang Pauh nampak berubah begitu ketara sekali, mungkin perubahan ini disebabkan kecelaruan yang timbul dalam Pakatan Harapan. Saya nampak mood pengundi positif kepada BN adalah disebabkan oleh usaha dan kerja keras kami selama ini membantu rakyat dalam Parlimen Permatang Pauh.

“Bermula dari 2013 kami tidak pernah berhenti untuk membantu rakyat Permatang Pauh dalam segala sudut. Ada bantuan untuk orang susah, miskin, ibu tunggal termasuk memberi kemudahan infra seperti lampu, jalan, sekolah, masjid dan surau…memang kami telah membuktikan kepada rakyat yang kami telah membantu Permatang Pauh,” katanya.

Mengenai bekas wakil rakyat kawasan itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dikatakan jarang turun padang, Mohd Zaidi berkata keadaan Presiden PKR itu yang tinggal di Kuala Lumpur menyukarkan beliau untuk membantu penduduk di kawasan yang diwakilinya.

“Beliau (Wan Azizah) sangat jarang menghabiskan masa di Permatang Pauh, jadi kebanyakan masalah rakyat di sini tidak dapat diselesaikan…jadi kalau masalah yang ada pun tidak dapat diselesaikan, tak mungkinlah beliau dapat memikirkan bagaimana untuk membangunkan Permatang Pauh.

“Keadaan yang sama akan berlaku jika anaknya Nurul Izzah dipilih wakil rakyat di sini kerana jarak antara Kuala Lumpur dan Permatang Pauh bukan dekat…pengundi di sini kena sedar tentang hal ini dan mudah-mudahan akan ada perubahan dalam pilihan raya ini,” katanya.

Mohd Zaidi menasihatkan pengundi di Permatang Pauh agar mengundi mengikut keperluan masa depan yang lebih cemerlang dan tidak terpengaruh dengan emosi yang akhirnya akan merugikan generasi akan datang.

“Cukuplah rakyat Permatang Pauh berkorban selama hampir 20 tahun ini kepada keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim…sudah sampai masa untuk pengundi Permatang Pauh membuat keputusan demi masa depan anak cucu dan generasi akan datang,” katanya.

1 comments:

  1. Tolong gali lubang besar dan tanam blog Islam 1% bangsat melayu UMNO-PAS awak Atua buang dalam tandas!!... Tolak Kepala Otak Hang!! Terima ini sebagai ajaran ALLAH tulin bukan buatan UMNO-PAS-Sultan_Agong Govenor IS Islam Bangsat Negara!!

    ReplyDelete