Saturday 5 May 2018

Nor Hafizah Calon Sesuai


TASEK GELUGOR: Orangnya kecil molek dan sentiasa tersenyum manis serta peramah. Sikap itu yang menjadikan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Berangan, Nor Hafizah Othman, 42, mudah dikenali dan disenangi penduduk setempat.

Namun di sebalik tubuh kecilnya, anak kedua daripada tujuh adik beradik yang juga seorang peguam itu mempunyai semangat dan jiwa besar bagi membantu penduduk di kawasannya.

Masih bujang, Nor Hafizah yang juga anak tempatan dan dilahirkan di Pokok Tampang, di sini adalah calon yang memang dikenali sebagai seorang yang suka membantu penduduk.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Dengan Kepujian dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), beliau pada mulanya bekerja sebagai peguam di sebuah firma, pada masa sama mula berkecimpung dan terjun dalam dunia politik pada 2002.

Menurutnya, secara kebetulan ketika itu penubuhan Puteri UMNO Malaysia diperkenalkan, mereka mencari calon untuk ketua puteri bahagian.

"Saya dipilih sebagai Ketua Puteri Umno Bahagian Tasek Gelugor pada 2001 dan sejak itu saya terpaksa membahagikan masa untuk menjalankan tugas sebagai peguam, selain aktif dalam politik.

"Pada 2005 saya mempunyai firma guaman sendiri dan itu membolehkan saya untuk aktif berpolitik serta banyak meluangkan masa membantu penduduk di kawasan ini," katanya.

Menurutnya, tugasnya sebagai peguam memerlukannya sentiasa berhadapan dengan orang ramai dan hakim hampir setiap hari ketika berada di mahkamah.

"Pengalaman sebagai peguam banyak mengajar saya dalam berpolitik untuk berhadapan dengan penduduk dan juga calon lawan.

"Ini sedikit sebanyak dapat memberi keyakinan ketika berkempen dan bertemu orang ramai.

"Jadi, saya berharap penduduk di sini dapat menyokong saya sebagai anak tempatan yang akan bertanding nanti kerana saya akan terus berkhidmat kepada masyarakat sekiranya dipilih mereka," katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Guar Petai, Mokhtar Aziz, 66, berkata, dia memang gembira dengan perlantikan Nor Hafizah sebagai calon di DUN Permatang Berangan.

"Sebelum beliau dipilih menjadi calon, Nor Hafizah memang daripada dulu lagi suka membantu penduduk di kawasan ini dan kami akan sentiasa menyokongnya," katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment