Monday 7 May 2018

‘Pak Chop’ Mahu Jumpa Seberapa Ramai Pengundi Sungai Dua


TASEK GELUGOR – Pengundi ketika ini lebih teruja untuk melihat calon pilihan mereka sentiasa berdamping dengan rakyat khususnya di saat mereka memerlukan atau berdepan masalah.

Itu yang dilakukan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Dua, Muhamad Yusoff Mohd. Noor sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) iaitu berjumpa secara dekat dengan pengundi di kawasan tersebut.

Ujarnya, beliau percaya pendekatan itu membolehkannya serta jentera BN mengenali setiap pengundi serta masalah yang dihadapi mereka dan pengundi juga akan berasa dekat dengan beliau sebagai wakil mereka.

“Kalau kita rapat dengan pe­ngundi, pasti mereka tidak akan lupa sampai bila-bila.

“Itu yang saya buat sejak empat atau lima tahun lalu. Pertan­dingan (pilihan raya) tetap satu pertandingan tapi saya akan terus berkhidmat untuk rakyat selagi termampu,” katanya.

Muhammad Yusoff atau lebih dikenali sebagai Pak Chop ditemui ketika menghadiri satu majlis perkahwinan di Alor Merah, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Yusoff memberitahu, ketika ini juga, beliau telah menjelajah le­bih separuh daripada keseluruhan 25 kampung dalam kawasan Sungai Dua.

“Saya berusaha berjumpa sendiri dengan setiap pengundi di sini dan memandangkan tempoh kempen PRU-14 juga semakin ke penghujung, saya perlu menggandakan usaha supaya tidak ada penduduk yang ter­tinggal daripada diziarahi,” katanya.

Tambah beliau, ketika ini juga tidak banyak isu atau aduan yang dibangkitkan oleh kebanyakan pengundi yang ditemuinya memandangkan masalah mereka telah diberi perhatian sejak beliau menjadi wakil rakyat di situ pada PRU-13.

“Tempoh kempen kali ini le­bih kepada susulan bersama penduduk berkenaan keadaan semasa mereka daripada apa yang telah kita laksanakan sebelum ini dan berusaha menyelesaikan sekiranya ada malasah atau isu berbangkit,” katanya. - Utusan Online

0 comments:

Post a Comment