Saturday 5 May 2018

Roslan Utamakan Pembangunan Infrastruktur


KEPALA BATAS – Selepas tiga penggal menjadi wakil rak­yat Pinang Tunggal di sini, Datuk Roslan Saidin boleh dikatakan sa­ngat arif dan memahami keperluan penduduk setempat.

Biarpun berada di kawasan luar bandar, namun pembangunan infrastruktur di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu tetap rancak dilaksanakan sama ada dalam bidang keagamaan, pendidikan atau kebajikan rakyat bagi meletakkan kawasan itu setanding dengan tempat-tempat lain.

Malah, melalui pembinaan Kompleks Rakyat Pinang Tunggal yang diilhamkan Roslan sendiri menjadikan kawasan itu tidak terpinggir daripada arus pemba­ngunan.

Menurut calon Barisan Nasio­nal (BN) bagi kerusi DUN itu, pada masa ini sebuah sekolah agama rakyat (SAR), pejabat ja­wa­tankuasa kemajuan dan ke­se­lamatan kampung (JKKK) Per­sekutuan, tadika serta pusat permainan telah siap dibina di kompleks terbabit.

“Bagi melengkapkan kompleks itu, saya merancang membina sebuah gelanggang yang dilengkapi astaka bagi memberi kemudahan kepada penduduk di sekitar kawasan ini.

“Selain itu, saya telah membina beberapa SAR bagi memberi pendidikan agama kepada kanak-kanak di Pinang Tunggal dengan projek terbaharu di Paya Keladi Masjid dan Kampung Selamat,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika mengadakan ziarah di Kampung Air Melintas Besar, di sini hari ini.

Pada program itu, beliau meluangkan masa lebih sejam bertemu penduduk serta beramah mesra dengan warga emas di situ selain mengunjungi Othman Ahmad, 49, yang lumpuh dan warga emas, Din Jusoh, 93.

Tambah Roslan, kemudahan lain yang diusahakan adalah dewan-dewan terbuka di sekolah yang turut boleh digunakan oleh penduduk kampung untuk me­ngadakan kenduri-kendara serta majlis keraian.

Selain itu, jelasnya, beliau me­ngusahakan pembinaan ja­lan-jalan baharu yang menghu­bung­kan kampung ke ta­man-taman perumahan serta di sekitar kawasan pertanian di Pinang Tunggal.

“Atas kepercayaan yang diberikan, saya perlu melipat-gandakan usaha agar semua pihak mendapat manfaat terutama golongan ibu tunggal, orang sakit, warga emas dan anak yatim,” ujarnya. - Utusan Online

0 comments:

Post a Comment