Sunday, 6 May 2018

Selama 10 Tahun Di Bawah Dap, Pulau Pinang Jadi Negeri Yang Gagal


Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang Rafizal Abd Rahim berkata, pengundi di Pulau Pinang harus ingat, sepanjang 10 tahun Dap menjadi kerajaan negeri, mereka telah membawa negeri itu kepada sebuah negeri yang gagal.

Jelas beliau, pelbagai masalah melanda rakyat Pulau Pinang yang tidak mampu diselesaikan oleh Dap malah lebih teruk apabila kerajaan negeri gagal menguruskan pembangunan dengan baik sehingga mengundang bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir yang teruk.

“Ramai yang mengetahui bahawa kerajaan negeri mengamalkan sikap pro pemaju sehingga ada yang meggelarkan Dap sebagai ‘Developer Action Party’ iaitu parti yang hanya menjaga kepentingan pemaju hartanah sahaja.

“Kerana sikap tamak Dap dalam hartanah akhirnya ia mendatangkan musibah banjir sehingga menyusahkan rakyat. Saya pasti rakyat masih ingat bagaimana drama Ketua Menteri Lim Guan Eng menangis meminta pertolongan kepada kerajaan persekutuan kerana tidak mampu lagi mengatasi masalah banjir.

“Bukan banjir sahaja tetapi satu lagi tragedi yang masih tidak mampu dilupakan oleh rakyat Pulau Pinang adalah tragedi tanah runtuh di Tanjung Bungah yang meragut 11 nyawa. Antara punca kes tanah runtuh ini adalah tidak lain dan tidak bukan kerana pembangunan tidak terkawal yang dilakukan di cerun bukit serta tidak mendapat kebenaran serta kelulusan dari Jabatan Alam Sekitar (JAS),” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Jelasnya, menguatkan lagi fakta yang mengatakan Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang gagal adalah hutang kerajaan negeri yang melonjak tinggi walaupun kerajaan negeri mendapat berjuta-juta daripada hasil penjualan tanah negeri.

“Mungkin kerana hutang yang semakin meningkat ini maka kerajaan negeri terpaksa menaikkan tarif air sebanyak empat kali dalam tempoh 10 tahun sekaligus menyusahkan rakyat.

“Jika kita bercakap soal pertumbuhan ekonomi pula, pelaburan dari luar negara semakin kurang memasuki negeri ini. Ini terbukti sekiranya kita melihat Laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, MIDA pada April 2017 menunjukkan penurunan sebanyak 30 peratus pelaburan ke Pulau Pinang. Pada Januari hingga Ogos 2016, pelaburan ke Pulau Pinang hanya berjumlah RM3.77 bilion berbanding RM5.34 bilion pada 2015. Adakah ini membuktikan syarikat-syarikat serta pelabur juga tidak yakin dengan pentadbiran Dap di Pulau Pinang?” ulas Rafizal.

Justeru jelas Rafizal, rakyat harus menilai keseluruhan perkara ini sebelum terus memberi mandat kepada Dap untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

“Jangan kita terus ditipu dengan permainan pembangkang untuk mengelirukan rakyat. Mereka memang sering menabur janji manis tetapi sebenarnya semua itu tidak benar.

“Sebagai contoh, pembangkang mendakwa Malaysia adalah sebuah negara yang korup tetapi kita harus tahu membezakan kepercayaan ‘popular’ dengan fakta kerana Corruption Transparency Index 2016 yang dikeluarkan oleh Transparency International meletakkan Malaysia pada tangga ke 55 daripada 176 negara di seluruh dunia, ini menandakan bahawa Malaysia sebenarnya salah satu negara paling tidak korup dan di rantau Asia-Pasifik lagi pula Malaysia tidak pun disenaraikan sebagai salah sebuah negara paling korup di dunia, seperti dilaporkan oleh CNBC pada 24 Januari 2017.

“Pembangkang juga mendakwa kononnya Malaysia bukanlah sebuah negara yang selamat tetapi faktanya Malaysia ditempatkan di tangga 29 daripada 159 negara oleh Indeks Keamanan Global pada tahun 2017 mengalahkan United Kingdom, Korea Selatan, Perancis, Indonesia dan Amerika Syarikat, sekaligus menunjukkan Malaysia adalah antara negara yang paling aman seantero dunia,” tegas beliau lagi. – MediaUMNO

0 comments:

Post a Comment