Tuesday 1 May 2018

Shabudin Anggap Calon PPBM Tak Beri Tentangan Sengit


TASEK GELUGOR – PPBM tidak mempunyai kekuatan jentera di peringkat akar umbi di Tasek Gelugor, malah calon parlimen parti itu juga tidak tinggal di kawasan itu.

Keadaan itu, kata penyandang kerusi Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya berbeza dan BN yang telah lama berkhidmat dengan rakyat di kawasan itu.

“Saya tidak nampak tentangan dari ‘parti bunga’ (PPBM) satu tentangan yang sengit, sebab kami tahu mereka tidak ada kekuatan jentera, parti ini tidak ada Cawangan dia cuma ada Bahagian. Bila musim pilihan raya ini mereka tidak ada orang di peringkat akar umbi untuk buat kerja.

“Kami ada 86 cawangan dan secara keseluruhan jika dicampur dengan parti komponen kami ada 140 cawangan,” katanya kepada pemberita semasa program ramah mesra di Sungai Dua di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei ini, Shabudin, calon BN-UMNO akan dicabar pengerusi PPBM negeri Marzuki Yahaya dan calon PAS Rizal Hafiz Roslan.

Beliau berkata selain tiada jentera di cawangan yang membantu menggerakkan kerja, calon PPBM itu juga tidak tinggal di Tasek Gelugor membuatkan pengundi tempatan tidak mengenalinya sekali gus memberi kelebihan kepada BN untuk terus mempertahan kawasan itu.

“Bagi saya, bertemu pengundi di kawasan ini bukan satu masalah kerana ia telah menjadi rutin saya sejak empat tahun lepas,” katanya. – Bernama

0 comments:

Post a Comment