Thursday, 3 May 2018

'Tumpang' Semangat Calon BN Sebelum Dibedah

PENYOKONG Barisan Nasional (BN), Embun Ibrahim, 49, tidak dapat menahan air matanya ketika dikunjungi calon BN bagi Parlimen Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said di kediamannya di Kampung Mengkuang Titi, Bukit Mertajam, hari ini.

Mohd Zaidi meluangkan masa kira-kira 30 minit mengunjungi Embun selepas mendapat tahu wanita yang mengalami masalah penglihatan itu teringin untuk berjumpa beliau.

Keinginan Embun itu dimaklumkan anaknya, Shafaliza Che Roos, 31, yang memuat naik status di laman Facebook (FB) memaklumkan ibunya tidak dapat berkempen bagi BN pada tahun ini, akibat masalah kesihatan.

Embun berkata, dia sangat gembira apabila mengetahui Mohd Zaidi sudi melawatnya sebelum dia dimasukkan ke hospital malam ini bagi menjalani pembedahan katarak.

“Saya tak sangka Datuk Zaidi sudi menjenguk, perasaan memang gembira selepas kecewa tidak dapat membantu BN berkempen pada pilihan raya kali ini.

“Apapun saya sentiasa berdoa Datuk Zaidi dan BN menang selain berharap saya sihat pada 9 Mei ini untuk keluar mengundi,” katanya ketika ditemui.

Selain Mohd Zaidi, turut hadir melawat Embun dan keluarganya adalah calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Suhaimi Sabudin.

Masalah katarak dialami Embun bertambah buruk sejak sebulan lalu, menyebabkan dia tidak lagi mampu melihat dengan sempurna selain mata kirinya disahkan buta akibat masalah saraf.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, Embun yang juga ahli Wanita UMNO menjadi antara jentera BN bagi kawasan Permatang Pauh dan turut membantu sepanjang tempoh kempen berlangsung.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, beliau tersentuh selepas membaca status Shafaliza mengenai keadaan ibunya sebelum mengambil keputusan mengunjungi wanita itu, hari ini.

“Ahli seperti Embun adalah wira sebenar BN dan UMNO, dia bekerja tanpa rasa letih demi parti.

“Individu seperti ini wajar kita hormati kerana sokongan sepanjang hayatnya,” katanya. - Metro

0 comments:

Post a Comment