Sunday 6 May 2018

Tun M Tidak Lagi Relevan – PM


KEPALA BATAS - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan usianya kini lebih 90 tahun tidak mencerminkan atau membawa ‘wajah’ masa hadapan negara.

Menurut Perdana Menteri, rakyat tidak seharusnya hidup dalam ‘nostalgia’ dengan menge­nang zaman 22 tahun peme­rintahan pemimpin gabungan pembangkang PKR berkenaan yang sudah tidak relevan kepada negara.

Sebaliknya, kata beliau, rakyat perlu bersama dengan dasar-dasar Barisan Nasional (BN) membawa negara ini ke arah masa hadapan yang lebih baik supaya setanding dengan negara-negara maju lain.

“Takkan kita mahu terus hidup dalam nostalgia, sedang­kan kita ada banyak peranca­ngan untuk bergerak ke hadapan, untuk memacu kejayaan dan mengangkat martabat Malaysia supaya sama dengan negara pa­ling maju,” katanya ketika berucap dalam majlis bertemu rakyat kawasan Parlimen Kepala Batas di Kampung Pasir Gebu, Penaga di sini yang dihadiri lebih 5,000 penduduk tempatan.

Yang turut hadir kesemua calon BN kawasan itu diketuai calon kerusi Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta barisan kepemimpinan BN negeri.

Dalam pada itu, Najib turut mengingatkan rakyat berkenaan dasar pembangunan mega ketika era pemerintahan Dr. Mahathir yang hanya bertumpu kepada bandar seperti membina bangunan pencakar langit dan lebuh raya.

Sedangkan, kata beliau, dasar BN ketika era pentadbirannya memastikan kemakmuran negara dikongsi pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan kurang berkemampuan sebagai contoh menerusi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM).

“Di bawah kerajaan saya, saya ubah falsafah zaman Dr. Mahathir, dia suka buat jalan raya, suka kenakan tol tetapi zaman saya, saya cuba kurangkan tol, sebab itu empat tol dalam Bajet 2018 kita mansuhkan. Walaupun di Pulau Pinang belum mansuh lagi, jika menang mungkin kita boleh fikirkan sesuatu,” katanya.

Dalam masa sama, Perdana Menteri turut menggesa rakyat menilai manifesto gabungan pem­bangkang PKR sebelum memberi sokongan yang mana menurutnya hanya janji palsu.

“Badan antarabangsa pun tolak manifesto pembangkang sebab tahu perancangan mereka tidak dapat dilaksanakan,” katanya. - Utusan Online

0 comments:

Post a Comment