Sunday 6 May 2018

Zairil 'Resah' Berdepan Chang Yeow Di Tanjung Bungah ?


PULAU PINANG 6 Mei - Calon PKR kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bunga, Zairil Khir Johari seolah-olah resah berdepan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Teng Chang Yeow di kerusi berkenaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menyedari penduduk kawasan berkenaan mementingkan penjagaan sekitar dan menuntut kawasan lereng bukit di situ tidak diusik untuk projek pembangunan, Zairil menggunakan isu berkenaan untuk 'menyerang' Chang Yeow dalam ceramahnya, di sini malam ini.

Zairil berkata, manifesto Chang Yeow untuk menghentikan projek pembangunan di lereng bukit berketinggian lebih 70 meter tidak boleh dipercayai.

“Dahulu, beliau pernah menjadi Exco kerajaan negeri dan luluskan 23 projek lereng bukit," katanya.

Chang Yeow baru-baru ini menegaskan akan menghentikan projek di lereng bukit sekiranya BN berjaya mentadbir negeri ini.

Dalam satu majlis perjumpaan dengan penduduk Tanjung Bunga baru-baru ini, Zairil dikecam kerana gagal memberikan jaminan untuk menghentikan projek lereng bukit pada masa akan datang.

Tanjung Bunga yang merupakan antara kawasan hijau di negeri ini semakin terancam akibat terlalu banyak kelulusan projek pembangunan lereng bukit di bawah Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Pada Oktober tahun lepas, seramai 11 maut akibat tanah runtuh ketika kerja-kerja pembinaan perumahan di lereng bukit sedang dijalankan selain banyak kejadian tanah runtuh dan banjir kilat dilaporkan berlaku di kawsan itu apabila hujan.

Sementara itu, Zairil juga tidak mengakui Kerajaan DAP Pulau Pinang turut terlibat dengan projek tambak laut di negeri ini.

Dakwanya, pantai di Persiaran Gurney kononnya hilang disebabkan BN melaksanakan projek pembangunan sewaktu memerintah.

Bagaimanapun, Zairil 'terlupa' apabila Kerajaan DAP Pulau Pinang turut meluluskan beberapa projek pembinaan kondominium mewah di kawasan berkenaan sejak 2008 yang turut menyebabkan kerosakan ekosistem laut. - Utusan Online

0 comments:

Post a Comment