Wednesday 6 June 2018

Dakwaan Guan Eng Boleh Jejas Hubungan Malaysia-China


6 JUN: Kerajaan Pakatan Harapan khususnya Menteri Kewangan Lim Guan Eng perlu berhenti membuat tuduhan politik melalui sidang akhbar yang didakwa berniat untuk terus memburukkan kerajaan BN sebelum ini.

Menurut Bekas Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan Datuk Lokman Noor Adam, tuduhan politik tersebut mampu merosakkan hubungan antarabangsa  dengan negara China.

Ia berikutan rundingan serta pelaksanaan dua projek saluran paip.

“Dalam kenyataannya, Guan Eng membuat tuduhan sangat spesifik bahawa bayaran dibuat lebih awal kepada CPPB, namun tidak kepada mana-mana syarikat lain.

“Tidak ada tuduhan pembayaran itu dialihkan atau salah dibayar kepada syarikat lain.

“Semakan menunjukkan CPPB adalah salah satu pembina saluran paip utama di dunia dan menyelesaikan lebih 10,000 kilometer saluran paip.

“CPPB juga anak syarikat milik penuh Kerajaan China, (CNPC) yang disenaraikan di nombor empat di ‘2017 Fortune 500 syarikat global’ dengan pendapatan AS$263 bilion tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sepatutnya memberi lebih banyak maklumat untuk membuktikan dakwaan beliau hari ini bahawa kedua-dua projek saluran paip itu adalah satu skandal.

“Beliau telah membuat tuduhan yang sangat spesifik bahawa bayaran dibuat lebih awal, tidak berdasarkan perkembangan kerja pembinaan kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB), bukan kepada syarikat lain. Tidak ada tuduhan bahawa pembayaran tersebut telah dialihkan atau tersalah bayar kepada syarikat lain,” ujarnya.

Tambah Lokman, ia bukan sesuatu yang luar biasa bagi projek pembinaan “turn-key” untuk mempunyai jadual pembayaran yang berbeza daripada perkembangan kerja pembinaan.

Jelasnya lagi ia mungkin disebabkan oleh rundingan antara kerajaan dengan kerajaan yang berkaitan dengan pinjaman mudah yang diberikan oleh kerajaan China.

“Dalam hal itu mungkin MOF boleh mendedahkan keseluruhan perjanjian kepada orang ramai bagi membolehkan mereka memeriksa mengapa bayaran kepada syarikat pembinaan tersebut distruktur sedemikian rupa.

“Bolehkah Guan Eng juga mendedahkan syarikat-syarikat siapakah ini? sama ada mereka adalah syarikat swasta atau mereka mempunyai kaitan dengan syarikat CPPB dan CNPC milik negara China?

“Tuduhan Guan Eng hari ini amat berat kerana MOF pada dasarnya menuduh bahawa kerajaan China telah bersekongkol dengan kerajaan kita dalam melakukan perbuatan rasuah. Ini memberi kesan negatif kepada hubungan diplomatik dan perdagangan kita dengan China,”ujarnya.

Tegas Lokman, jika berlaku salah laku, Guan Eng patut menyerahkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk menyiasat terlebih dahulu berhubung perkara itu.- bnbbc

0 comments:

Post a Comment