Tuesday 5 June 2018

Kredibiliti PH Mula Dipersoal


KUALA LUMPUR - Penolakan banyak pihak mengenai cadangan melantik Tommy Thomas sebagai Peguam Negara baharu bukanlah semata-mata melibatkan isu agama dan bangsa, namun turut melibatkan kredibiliti dan moral kerajaan Pakatan Harapan.

Pensyarah Undang-undang, Dr. Shamsher Singh Thind berkata, jika diikutkan dari segi perundangan, Tommy sememangnya layak, malah tiada peruntukan dalam Perlembagaan mengatakan bahawa Peguam Negara perlulah seorang Melayu dan Islam.

Namun begitu, menurut Shamser, Tommy telah lama menunjukkan ‘minat’ kepada Pakatan Harapan apabila menjadi peguam Kerajaan Negeri Pulau Pinang semasa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menjawat jawatan Ke­tua Menteri di samping peguam bela dalam kes banglo Guan Eng.

“Sebagai seorang peguam, Tommy sememangnya perlu mengamalkan sikap berkecuali, tetapi sebenarnya dia telah me­nunjukkan kecenderungan tinggi kepada Pakatan Harapan sejak sebelum menjadi kerajaan lagi.

“Bukankah hal ini sekali gus boleh mengakibatkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat mengenai kredibiliti kerajaan apa­tah lagi dahulu kepemimpinan Pakatan Harapan sering me­ngatakan Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali ‘menyebelahi’ pentadbiran kerajaan terdahulu?” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai cadangan kerajaan Pakatan Harapan untuk melantik Tommy sebagai Peguam Negara baharu sebagaimana dilaporkan beberapa media yang mendapat tenta­ngan banyak pihak.

Pemilihan Tommy sebagai calon Peguam Negara itu sekali gus dikatakan boleh menimbulkan konflik kepentingan kerana beliau pernah menjadi peguam Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pentadbiran Guan Eng di samping mewakili Menteri Kewangan itu dalam kes skandal banglo.

Mengulas lanjut, Shamser berkata, kerajaan Pakatan Harapan sering kali mengatakan mahu melaksanakan reformasi institusi dengan menyeluruh tanpa mela­kukan salah guna kuasa seperti ketika zaman pentadbiran kerajaan terdahulu.

Namun begitu, kata Shamser, perdebatan mengenai moraliti kerajaan akan terus diperkatakan sekiranya kerajaan tetap dengan pendirian mahu melantik Tommy.

“Kerajaan mengatakan mahu membina semula negara, ini zaman Malaysia baharu disebabkan ramai rakyat sudah semakin muak dengan isu-isu salah guna kuasa dan rasuah.

“Jadi, Pakatan Harapan sewajarnya menunjukkan kesungguhan untuk membasmi semua perkara itu, pelantikan Tommy jelas tidak mencerminkan apa yang diperkatakan selama ini,” katanya. - Utusan Online

0 comments:

Post a Comment