KUALA LUMPUR, 6 Jun – Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sekarang ini adalah masa terbaik untuk menilai siapa sebenarnya orang UMNO yang benar-benar akan bersama dalam keadaan susah dan senang dan bukannya sekadar pelengkap menjadi ahli UMNO.
Jelas beliau, ini penting kerana dalam usaha untuk membangunkan semula UMNO selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu, amat penting untuk parti menilai kesetiaan ahli untuk bersama dikala susah dan senang.
“Sebenarnya saya berasa bangga dan ingin mengucapkan tahniah kepada ahli UMNO kerana dalam keadaan masih bersedih dan kecewa, mereka masih setia kepada parti dan masih bersama kita mengadakan mesyuarat cawangan dengan baik. Bagi saya, mereka ini adalah orang-orang UMNO kalau nak dibandingkan dengan ahli UMNO.
“Ketika inilah kita dapat menilai siapa sebenarnya orang UMNO yang akan bersama bukan hanya di waktu senang,” jelas beliau kepada UMNO-Online.
Ketika ditanya berkaitan pemilihan parti yang bakal berlangsung pada 30 Jun ini, beliau berkata, perkembangan yang menyaksikan begitu ramai menawarkan diri untuk bertanding adalah sesuatu yang baik cuma jangan sampai kebaikan itu menjadi sebaliknya sehingga melemahkan lagi parti UMNO ini.
“Jangan kita gunakan platform pemilihan parti ini sesebagai satu wadah untuk tuding jari sesama kita, jangan kita menyerang dan menyentuh perkara yang tidak sihat. Nak bertanding, bertanding secara sihat, itu proses demokrasi dalam parti kita.
“Dalam keadaan sekarang ini saya tengok tidak ada apa yang dikejarkan sangat. Banyak kerja yang perlu dilakukan. Jadi orang yang menawarkan diri ini mesti pastikan betul-betul tawarkan diri untuk buat kerja. Kalau rakyat mahu muka-muka baru, biarlah muka-muka baru ini betul-betul boleh bawa amanah dan saya harap ahli di bawah memahami perkara ini,” tegas beliau lagi. – MediaUMNO
0 comments:
Post a Comment